KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu terkenal Amerika Syarikat, Jason Mraz bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur selepas tujuh tahun tidak membuat persembahan di negara ini.
Konsert itu dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 31 Oktober depan.
Mraz yang terkenal menerusi lagu hit, I'm Yours, terus menjadi antara artis solo paling berpengaruh dengan karya yang merentasi pelbagai genre, termasuk akustik pop, folk, reggae, R&B dan disko.
Pemenang Anugerah Grammy itu turut menghasilkan pelbagai lagu popular seperti I Won't Give Up, Lucky bersama Colbie Caillat, Have It All, I Feel Like Dancing dan The Remedy (I Won't Worry).
Penerima pengiktirafan Songwriters Hall of Fame itu memulakan kerjaya sebagai penyanyi di kafe sebelum memperoleh kontrak rakaman yang membuka laluan kepada perjalanan seninya yang kini merangkumi sembilan album studio, termasuk beberapa album berstatus platinum dan multi-platinum.
Selain aktif dalam bidang muzik, Mraz turut mengembangkan bakatnya dalam pelbagai cabang seni termasuk membintangi muzikal Broadway Waitress karya Sara Bareilles, menjadi penerbit eksekutif dokumentari The Opener dan muncul sebagai naib juara program realiti Dancing with the Stars musim ke-32.
Menerusi konsert berkenaan, Mraz dijangka menyajikan gabungan lagu hit yang menjadi kegemaran ramai bersama beberapa karya baharu.
Pengarah Zues Event Sdn Bhd, Jeffery Chin berkata, pihaknya optimis konsert itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan.
"Kami meneruskan momentum selepas kejayaan penganjuran konsert K-pop baru-baru ini dengan menawarkan pengalaman muzik yang berbeza.
"Kami percaya kepulangan Jason Mraz ke Kuala Lumpur bukan sahaja menarik peminat setianya, malah pencinta muzik yang mahukan pengalaman persembahan bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan.
Tiket konsert akan mula dijual menerusi platform etix.my bermula esok dengan harga antara RM158 hingga RM688.
























