BH Online
Ringkasan Berita

Suara 'Kak Pah' bergema di DFP

KUALA LUMPUR: Jika Allahyarham Datuk Sharifah Aini masih bersama kita hari ini, pasti hatinya diselubungi rasa syukur dan terharu melihat kasih sayang peminat yang tidak pernah pudar meskipun lebih sedekad berlalu sejak pemergiannya.
Suara 'Kak Pah' bergema di DFP

Menerusi lagu Hapuslah Air Matamu, Khaty berjaya mengajak penonton kembali mengimbau era kegemilangan Sharifah Aini. Foto Ihsan DFP

KUALA LUMPUR: Jika Allahyarham Datuk Sharifah Aini masih bersama kita hari ini, pasti hatinya diselubungi rasa syukur dan terharu melihat kasih sayang peminat yang tidak pernah pudar meskipun lebih sedekad berlalu sejak pemergiannya.

Konsert A Tribute To Sharifah Aini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di ibu negara, Sabtu lalu, menjadi bukti bahawa Biduanita Negara itu tidak pernah benar-benar meninggalkan pentas seni.

Walaupun jasadnya sudah lama bersemadi, suara dan karya yang ditinggalkan terus hidup, bernafas dan bergema dalam jiwa peminat pelbagai generasi.

Lagu yang sebahagiannya menghampiri usia enam dekad masih segar di ingatan pendengar, terus berkumandang merentasi zaman tanpa kehilangan seri dan pesonanya.

Usaha DFP menganjurkan konsert penghormatan itu wajar dipuji kerana bukan sekadar menghidangkan malam penuh nostalgia, malah, menjadi pengiktirafan terhadap sumbangan besar Allahyarham Sharifah Aini dalam memperkaya khazanah muzik tanah air.

Lebih istimewa, konsert berkenaan seakan-akan sebuah naskhah biografi yang dibuka satu demi satu halamannya, membawa penonton menelusuri perjalanan seni Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah menerusi lagu, kisah dan kenangan mereka yang pernah berkongsi pentas serta pengalaman hidup dengannya.

Di pentas berprestij itu, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty, Salamiah Hassan, Shiha Zikir dan Asmidar menggalas amanah besar menghidupkan semula deretan karya malar segar Allahyarham Sharifah Aini.

Dengan kekuatan vokal dan penghayatan tersendiri, setiap persembahan yang dipentaskan berjaya menganyam semula memori indah mengenai figura seni yang pernah menguasai dunia hiburan tanah air selama puluhan tahun.

Pentas DFP disimbahi aura nostalgia apabila Asmidar membuka tirai persembahan menerusi lagu tradisional, Seri Dewi Malam yang cukup sinonim dengan Allahyarham Sharifah Aini.

WhatsApp Image 2026-06-08 at 8.56.54 PM
Dari kiri Shiha, Salamiah, Khaty dan Asmidar menggalas amanah besar menghidupkan semula deretan karya malar segar Allahyarham Sharifah Aini di pentas DFP. Foto Ihsan DFP

Lantunan vokalnya yang lunak dan merdu membawa penonton menyusuri lorong kenangan, menghidupkan kembali keindahan lagu Melayu klasik yang pernah menjadi antara kekuatan Sharifah Aini.

Asmidar kemudian meneruskan persembahan menerusi medley Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah dan Gunung Banang.

Turut didendangkan adalah lagu Kekasih Pujaan, Di Malam Persandingan, Oh Di Mana, Yang Ditunggu Tak Tiba dan Surat Dari Seberang.

Setiap bait yang dilantunkan seolah-olah merakam kembali kegemilangan era Sharifah Aini, sekali gus membuatkan dewan dibuai rasa rindu dan kekaguman terhadap legasi seni yang ditinggalkannya.

Suasana bertukar sayu apabila Salamiah mengambil alih pentas dengan lagu melankolik, Tiada Maaf Bagimu dan Kenang Daku Dalam Doamu.

Alunan suaranya yang masih utuh meninggalkan kesan mendalam, mengundang rasa pilu dan kerinduan terhadap sosok besar yang pernah mewarnai industri muzik negara.

Sebagai antara penyanyi paling versatil yang pernah dilahirkan negara, Sharifah Aini bukan sahaja meninggalkan khazanah lagu Melayu yang malar segar, malah turut merakamkan beberapa album berbahasa Inggeris.

Justeru, Salamiah turut diberikan tanggungjawab menghidupkan semula karya Inggeris Allahyarham menerusi lagu Forever and Ever, Will You Still Love Me Tomorrow dan I Have A Dream.

Persembahan itu memperlihatkan sisi berbeza perjalanan seni Sharifah Aini, sekali gus membuktikan keluasan pengaruh dan kebolehan beliau menembusi pelbagai genre muzik.

Malam penuh emosi itu turut diserikan dengan kemunculan Shiha yang bukan sahaja mempamerkan kemampuan vokalnya, malah mencuit hati penonton menerusi pelbagai kisah bersama Allahyarham yang mesra dipanggil Umi.

Shiha yang pernah berguru di bawah bimbingan Sharifah Aini menerusi program Mentor musim kelima berkata, segala tunjuk ajar dan didikan diterimanya menjadi asas penting dalam membentuk dirinya sebagai seorang penghibur.

"Umi seorang yang sangat tegas dan mementingkan disiplin. Banyak perkara yang saya belajar daripada beliau, bukan sahaja mengenai nyanyian, tetapi juga cara membawa diri sebagai seorang artis.

"Kalau bukan kerana didikan dan teguran Umi, mungkin saya tidak menjadi Shiha yang ada hari ini," katanya.

Shiha kemudian menghadiahkan Mawar Putih Untuk Mama sebelum meneruskan persembahan menerusi medley Cahayaku Cahayamu, Seribu Mawar, Ingatan Manis di Bulan September, Dekatlah Padaku, Hiburkanlah Hatiku, Tiba Tiba Rindu dan lagu ikonik, Bunga Tanjung.

Suasana yang sebelumnya dibaluti rasa nostalgia kembali meriah dengan kemunculan Khaty.

Menerusi lagu Hapuslah Air Matamu, Khaty berjaya mengajak penonton kembali mengimbau era kegemilangan Sharifah Aini.

Beliau kemudian menghangatkan suasana apabila bergelek menerusi lagu dangdut Rindu sebelum meneruskan persembahan dengan tiga lagu yang cukup sinonim dengan Allahyarhamah iaitu Terbang Helang, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Kudaku Lari.

Selepas lebih dua jam membawa penonton mengembara merentasi pelbagai fasa perjalanan seni Sharifah Aini, konsert penghormatan itu akhirnya melabuhkan tirai menerusi lagu Seiring Sejalan yang disampaikan oleh keempat-empat penyanyi itu.

Semua persembahan pada malam itu diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose yang berjaya menyuntik dimensi baharu kepada setiap karya yang dipersembahkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan