SEOUL: Filem Korea Selatan terus membuktikan pengaruhnya pada peringkat antarabangsa apabila karya dari negara itu kekal menjadi buruan pembeli global pada Pasaran Filem Cannes tahun ini biarpun suasana industri dilihat lebih perlahan dan berhati-hati.
Menurut laporan The Korea Times, syarikat pengedaran utama Korea seperti CJ ENM, Showbox, Lotte Entertainment dan NEW Contents Panda aktif mengadakan urusan jual beli sepanjang Festival Filem Cannes berlangsung di Perancis, baru-baru ini.
Walaupun urusan perniagaan bermula agak perlahan, permintaan dan pertemuan bersama pembeli meningkat menjelang pertengahan acara.
Wakil Lotte Entertainment berkata, filem genre Korea masih mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, namun pembeli kini lebih berhati-hati dalam memilih projek.
"Minat global terhadap filem genre Korea masih sangat tinggi. Namun, pembeli kini lebih memberi tumpuan kepada projek yang benar-benar kuat," katanya, lapor The Korea Times.
Antara filem yang dilapor mencuri perhatian ialah Colony arahan Yeon Sang-ho yang dilaporkan menerima sambutan memberangsangkan daripada pembeli Asia dan Eropah.
Menurut Showbox, ramai pembeli meminta lebih banyak karya seperti Colony, sekali gus membuktikan filem bertemakan zombi dan thriller Korea masih mempunyai pengaruh besar di pasaran global.
Populariti barisan pelakon seperti Jun Ji-hyun, Ji Chang-wook dan Koo Kyo-hwan turut membantu meningkatkan nilai pasaran filem terbabit.
Dalam masa sama, beberapa pembeli antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah filem Korea yang semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
Malah, ada pembeli dilapor secara terbuka meminta syarikat Korea menghasilkan lebih banyak filem kerana permintaan terhadap karya dari negara itu masih kukuh.
Selain Colony, CJ ENM turut mempromosikan beberapa judul baharu termasuk Paradise Lost, Tazza: The Song of Beelzebub, Ode to My Father 2 dan The Gardeners.
Menurut wakil syarikat itu, pembeli global masih melihat filem Korea memiliki kelebihan besar daripada segi kualiti produksi, kekuatan penceritaan dan kepelbagaian genre.
Permintaan terhadap kerjasama produksi serta hak cipta adaptasi semula (remake rights) juga dilaporkan terus meningkat. - AGENSI
























