MUMBAI: Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap industri perfileman dunia apabila filem pendek dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi itu mula tular dan mencuri perhatian ramai di media sosial.
Bukan sahaja tampil dengan visual bertaraf Hollywood, karya dijana AI kini mampu dihasilkan individu biasa tanpa memerlukan studio besar, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada teknologi itu bakal menggugat masa depan pembikin filem tradisional.
Antara karya yang menjadi perhatian ialah The Patchwright, filem pendek berdurasi 21 minit yang memaparkan dunia futuristik dengan karakter haiwan dan manusia digabungkan bersama elemen mesin serta teknologi.
Babak pembukaan filem itu memaparkan seekor singa putih dengan implan logam pada tubuhnya sehingga mengingatkan penonton kepada dunia adiwira Marvel.
Keseluruhan visual filem berkenaan dilihat begitu kemas, terperinci dan setanding produksi studio besar Hollywood walaupun jalan ceritanya dianggap klise oleh sesetengah pihak.
The Patchwright turut meraih lebih 10 juta tontonan di YouTube selepas tular bersama beberapa lagi filem pendek dijana AI seperti Zombie Scavenger, Push The Button dan Sinicitum.
Setiap karya tampil dengan identiti tersendiri termasuk visual fotorealistik, elemen animasi ala Pixar dan gaya futuristik seperti siri popular Love Death + Robots.
Apa yang menarik, kebanyakan filem itu dihasilkan individu yang dipercayai hanya penggemar teknologi atau pembikin filem amatur.
Antara nama yang mencuri perhatian ialah Zack London yang mengendalikan syarikat filem AI, Gossip Goblin dan pernah digelar 'George Lucas of AI' oleh Hollywood Reporter.
Perkembangan itu dilihat membuktikan teknologi seperti Seedance 2.0, Veo 3.1 dan Midjourney kini cukup canggih untuk membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan filem hanya dari dalam bilik.
Di India, penggunaan AI dalam industri perfileman juga semakin berkembang apabila beberapa produksi mula memanfaatkan teknologi itu dalam proses kreatif.
Siri Mahabharata yang distrim menerusi JioHotstar dilaporkan antara karya yang menggunakan AI dalam penghasilannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Collective Artists Network Group, Vijay Subramaniam, berkata perkembangan teknologi dalam industri hiburan sentiasa berubah seiring peredaran zaman.
"Penggunaan AI dijangka berkembang seperti evolusi kamera digital, kesan visual (CGI) dan produksi maya sebelum ini," katanya, lapor India Today.
Pandangan sama turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Studio Blo, Dipankar Mukherjee yang menyifatkan AI kini sudah menjadi alat arus perdana dalam industri filem.
"Ramai pembikin filem dan studio menggunakan AI sebagai pelengkap kepada penggambaran tradisional termasuk dalam penghasilan siri fiksyen sains," katanya, lapor India Today.
Bagaimanapun, penggunaan AI terus mencetuskan perdebatan terutama membabitkan soal emosi, kreativiti dan sentuhan manusia dalam karya seni.
Festival Filem Cannes baru-baru ini turut menjadi pentas kritikan terhadap AI apabila pengarah terkenal, Guillermo del Toro, secara terbuka mengecam penggunaan teknologi itu dalam seni kreatif.
Di Bollywood, ada pengarah berpendapat filem dijana AI sukar menyentuh emosi penonton kerana tidak memiliki unsur kemanusiaan sebenar.
Pengarah Bollywood, Amit Rai, berkata penonton tetap mahu melihat ekspresi dan pengorbanan manusia dalam sesebuah karya kerana elemen itu menjadikan filem lebih dekat dengan jiwa masyarakat.
"Aksi luar biasa dalam filem hanya boleh diterima penonton apabila dipersembahkan pelakon sebenar dan bukannya dijana sepenuhnya oleh mesin.
"Dalam masa sama, ada penggiat industri berpandangan AI hanyalah alat bantuan dan bukan pengganti kreativiti manusia." katanya.
Dipankar berkata, emosi masih boleh diterjemahkan menerusi filem AI sekiranya dikendalikan individu yang mempunyai kreativiti serta pemahaman mendalam mengenai seni penceritaan.
Pengasas philmCGI, Arpan Gaglani pula berkata ramai individu kini mendakwa diri mereka pengarah AI walaupun tidak mempunyai asas kukuh dalam penceritaan dan sinematografi.
Katanya, teknologi semata-mata tidak cukup untuk menghasilkan karya berkualiti tanpa pengalaman serta penguasaan dalam aspek pengarahan, suntingan dan visual.
"Sekadar tahu menggunakan perisian tidak menjadikan seseorang itu pengarah filem," katanya.
Ketika industri kreatif dunia masih cuba menyesuaikan diri dengan ledakan AI, perdebatan mengenai peranan sebenar teknologi itu dijangka terus berpanjangan.
Ada pihak percaya AI bakal mengubah landskap perfileman sepenuhnya, namun sebahagian lagi yakin sentuhan manusia tetap menjadi elemen paling penting dalam sesebuah karya. - AGENSI
























