LONDON: Penyanyi legenda Britain, Bonnie Tyler dilaporkan berada dalam keadaan koma teraruh selepas menjalani pembedahan kecemasan berkaitan usus di sebuah hospital di Faro, Portugal.
Memetik laporan BBC, jurucakap penyanyi berusia 74 tahun itu berkata, tindakan menidurkan Tyler dilakukan bagi membantu proses pemulihan selepas prosedur pembedahan dijalankan, Rabu lalu.
"Tyler diletakkan dalam keadaan koma teraruh oleh pasukan doktor bagi membantu proses pemulihannya.
"Kami tahu ramai mendoakan kesejahteraannya dan memohon ruang privasi diberikan kepada keluarga ketika waktu sukar ini," katanya dalam satu kenyataan.
Perkembangan kesihatan penyanyi terkenal menerusi lagu Total Eclipse of the Heart itu turut mendapat perhatian peminat dari seluruh dunia yang membanjiri media sosial dengan ucapan dan doa.
Malah, lebih 2,000 komen ditinggalkan peminat menerusi Facebook rasmi Tyler bagi memberikan sokongan moral selain berkongsi pengalaman menjalani pembedahan sama.
Rakan pemuzik Tyler, Ed Poole, turut berharap penyanyi terbabit kembali pulih.
"Saya dan seluruh anggota kumpulan sentiasa berharap serta mendoakan agar Bonnie kembali sihat," katanya.
Beberapa selebriti era 1980-an dilaporkan turut menitipkan sokongan termasuk penyanyi Gloria Gaynor dan Katrina Leskanich.
Dilahirkan dengan nama Gaynor Hopkins di Wales, Tyler mencipta sensasi antarabangsa menerusi lagu Total Eclipse of the Heart pada 1983.
Sepanjang kerjaya seni, beliau turut menerima pencalonan Anugerah Grammy selain mewakili United Kingdom pada pertandingan Eurovision Song Contest 2013. - AGENSI
























