BH Online
Ringkasan Berita

Zarul Umbrella nafi bermasalah dengan CK Faizal

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zarul Umbrella menafikan dakwaan mempunyai masalah peribadi dengan CK Faizal susulan keputusan personaliti itu mengundurkan diri sebagai rakan pengacara podcast Borak Dalam Galley (BDG), baru-baru ini.
Zarul Umbrella nafi bermasalah dengan CK Faizal

Zarul (kanan) menegaskan hubungan persahabatannya dengan CK Faizal masih baik seperti biasa. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zarul Umbrella menafikan dakwaan mempunyai masalah peribadi dengan CK Faizal susulan keputusan personaliti itu mengundurkan diri sebagai rakan pengacara podcast Borak Dalam Galley (BDG), baru-baru ini.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 53, berkata keputusan dibuat CK untuk meninggalkan saluran podcast diasaskannya itu mungkin disebabkan mahu memberi fokus terhadap perkara lain.

"Sebenarnya sebelum itu kami ada penggambaran raya bersama. Selepas itu, tiba-tiba dia beri notis 24 jam untuk mengundurkan diri, jadi saya pun terkejut.

"Tetapi bila fikir semula, mungkin dia rasa sudah terlalu lama memberi fokus kepada podcast sahaja dan mahu mencuba perkara lain.

"Namun, sebab sebenar saya pun tidak tahu kerana hanya CK yang boleh jawab. Saya hormat keputusan dia dan teruskan sahaja dengan apa yang ada sekarang," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Seribu Rahmat Umbrella di sini, hari ini.

Ditanya mengenai hubungannya dengan CK, Zarul berkata, mereka masih baik dan tiada sebarang perselisihan faham seperti diperkatakan segelintir pihak.

Menurutnya, mereka juga sempat bertemu beberapa hari lalu selain berbual dan bergurau senda seperti biasa.

"Saya tiada masalah dengan dia. Dua hari lalu kami ada berjumpa dan masih bergurau serta ketawa seperti biasa.

"Kami tidak bergaduh dan tiada sebarang isu. Sampai hari ini saya masih sayangkan dia kerana BDG juga mula dikenali disebabkan dirinya.

"Jadi, saya tidak boleh lupa perkara itu kerana dia antara individu yang banyak membantu memperkenalkan BDG kepada orang ramai," katanya.

Terdahulu, pada 21 Mac lalu, CK atau nama sebenarnya Che Kamarul Faizal Che Kamaruddin mengumumkan pengundurannya daripada BDG selepas tiga tahun berkhidmat sebagai pengacara menerusi hantaran video di Instagram.

Dalam perkembangan lain, Zarul akan tampil dalam Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang dijadual berlangsung pada 6 Jun depan di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia.

Konsert berkenaan bukan sekadar persembahan nostalgia, malah menggabungkan elemen muzik klasik era 1990-an bersama teknologi moden.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis, konsert itu bakal menampilkan kumpulan Umbrella sebagai teraju utama bersama penampilan khas Zamani Slam dan Floor 88.

Video Terkini

Berita Berkaitan