BH Online
Ringkasan Berita

Ajai perjelas belum ada rezeki kongsi pentas dengan Nourul

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Ajai mendedahkan dia terpaksa menolak pelawaan untuk muncul dalam konsert bekas isterinya, Nourul Depp pada Mei depan disebabkan komitmen kerjanya yang padat.
Ajai perjelas belum ada rezeki kongsi pentas dengan Nourul

Ajai (kanan) mendedahkan dia terpaksa menolak pelawaan untuk muncul dalam konsert Nourul Depp pada Mei depan disebabkan komitmen kerjanya yang padat. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Ajai mendedahkan dia terpaksa menolak pelawaan untuk muncul dalam konsert bekas isterinya, Nourul Depp pada Mei depan disebabkan komitmen kerjanya yang padat.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 52, berkata walaupun mempunyai keinginan untuk kembali berkongsi pentas, kekangan masa menghalangnya daripada memberikan komitmen buat masa ini.

"Untuk kali ini, saya rasa tidak dapat munculkan diri dalam konsert Nourul kerana ada komitmen yang tidak dapat dielakkan.

"Namun, jika ada rezeki lain, mana tahu suatu hari nanti mungkin akan ada konsert Ajai dan Nourul," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Usanita, baru-baru ini.

Menurut Ajai, dia kini sedang sibuk menguruskan persiapan konsert kumpulan Exists.

"Nourul ada menawarkan, cuma masanya tidak tepat pada hari itu. Sekarang saya terikat dengan persiapan konsert Exists.

"Seperti yang kita tahu, banyak perkara yang perlu diselesaikan untuk projek itu, jadi saya terikat dengan jadual sedia ada," katanya.

Mengulas mengenai keterbukaan hatinya untuk kembali bekerjasama dengan bekas isterinya, Ajai menegaskan dia sudah lama melupakan sengketa yang berlaku antara mereka.

"Bagi saya, masalah lepas sudah lepas dan masing-masing pun sudah 'move on'. Saya tiada masalah untuk memberikan komitmen (bekerjasama), cuma kali ini memang saya terikat dengan perkara lain.

"Apa pun, saya ucapkan Selamat Maju Jaya buat Nourul. Kepulangan semula dia dalam industri adalah petanda yang baik.

"Lagu-lagu dia banyak yang hits. Sebelum kami berduet lagi, dia sudah ada lagu hits daripada album yang saya terbitkan sendiri. Lagu-lagu itu masih relevan dan boleh digunakan sehingga sekarang," katanya.

Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi Nourul untuk melaksanakan konsertnya, Ajai berpendapat setiap artis yang ingin membuat 'comeback' perlu mempunyai strategi pemasaran yang baik.

"Apabila kita mahu kembali, sudah tentu kita bermula dari kosong semula walaupun pernah mempunyai nama yang kukuh dulu.

"Sekarang kita berdepan dengan kelompok peminat baharu dan peminat yang sudah berusia 40-an, jadi kena ada strategi bagaimana mahu menarik perhatian mereka semula.

"Bagaimanapun, saya rasa dia tidak akan berdepan masalah besar kerana nama Nourul itu sendiri sudah kukuh dan dikenali," kongsinya.

Untuk rekod, Nourul dan Ajai pernah mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 1996 dan berpisah pada 28 Februari 2007.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ayu Nazirah, 28.

Video Terkini

Berita Berkaitan