KUALA LUMPUR: Pelakon Elisya Sandha memuji komitmen dan sikap profesional rakan gandingan, Aliff Aziz ketika bekerjasama di set penggambaran drama terbaharu Madu Atau Racun.
Elisya atau nama sebenar, Nur Elisya Sandha Hassan, 27, menyifatkan Aliff sebagai pelakon luar biasa dan berjaya menghidupkan wataknya dengan sangat berkesan.
"Bekerja dengan Aliff sangat bagus. Saya tidak boleh nafikan perkara itu. Sepanjang penggambaran, saya boleh katakan bahawa Aliff bawa karakter ini dengan sangat baik.
"Aliff sangat mudah dibawa berbincang dan sentiasa terbuka. Malah, dia juga sering bertanya pendapat saya sebelum kami rujuk pengarah," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka iQIYI di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengenai kebimbangan sekiranya terpalit dengan kontroversi yang sering dikaitkan dengan Aliff, Elisya menegaskan dia bersikap profesional dalam kerjaya.
"Tempias (kontroversi) itu saya rasa tidak terkena pada saya kerana kehidupan peribadi adalah hal peribadi. Dia seorang pelakon dan saya juga.
"Apabila ditawarkan berlakon bersama Aliff dan Uqasha Senrose, saya terima dengan hati terbuka. Saya tahu kami perlu profesional sebaik sahaja berada di set penggambaran.
"Ini adalah kerja. Apa yang berlaku dalam masa lalu atau kehidupan peribadi, saya tidak campur. Apa yang penting, kami bawa karakter masing-masing sebaik mungkin," katanya.
Elisya amat menghormati disiplin yang ditunjukkan Aliff kerana memberi fokus sepanjang bekerja di lokasi penggambaran.
"Aliff sangat profesional. Apabila sampai ke set, dia memang datang untuk bekerja sehinggalah habis penggambaran. Dia bawa karakter itu ke set dan sangat memudahkan urusan kerja," katanya.
Selain Elisya, drama Madu Atau Racun yang turut dibintangi Aliff dan Uqasha, bakal ditayangkan, Julai depan.
























