KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh industri perfileman negara, termasuk menjalin kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membantu penggiat seni yang berdepan cabaran kewangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan serta daya tahan penggiat industri kreatif.
"Hari ini mesej yang ingin disampaikan ialah kerajaan akan terus membantu seniman dan penggiat perfileman, bukan sekadar melalui dana atau peruntukan, tetapi juga sokongan menyeluruh terhadap kelangsungan kerjaya mereka.
"Kita memahami industri ini berdepan risiko tinggi, termasuk kegagalan perniagaan yang boleh membawa kepada masalah kewangan. Justeru, kerjasama dengan Jabatan Insolvensi diharap dapat membantu mereka bangkit semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri simposium sempena Hari Seniman Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, di sini, petang tadi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta wakil persatuan dan penggiat industri.
Fahmi berkata, kerajaan turut menyambut baik komitmen untuk menggerakkan Jabatan Bantuan Guaman bagi membantu penggiat industri menyelesaikan pertikaian secara mediasi.
"Saya menerima baik komitmen daripada Jabatan Bantuan Guaman untuk membantu dari segi mediasi bagi mereka terbabit dalam bidang perfileman sekiranya wujud sebarang pertelingkahan.
"Inisiatif ini membolehkan isu kontrak bernilai bawah RM250,000 diselesaikan melalui mediasi, sekali gus mengurangkan kos guaman," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, inisiatif itu bertujuan menarik lebih banyak produksi antarabangsa serta membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.
Selain itu, kerajaan melancarkan Dana Citra bernilai RM10 juta bagi menyokong pembangunan kandungan berteraskan identiti nasional, merangkumi filem cereka, dokumentari dan filem pendek.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut meminta FINAS meneliti aspek perlindungan hak cipta dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
"Keupayaan AI hari ini mampu menghasilkan visual dan suara yang menyerupai individu sebenar. Maka, wajah dan suara artis perlu dilindungi kerana ia adalah aset utama mereka," katanya.
Pada masa sama, FINAS sedang memperhalusi pindaan Dasar Filem Negara (DFN) sebagai pelan strategik jangka panjang bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Pindaan itu merangkumi keseluruhan ekosistem industri, termasuk animasi dan teknologi AI, bagi menjadikan Malaysia hab kandungan kreatif yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam majlis sama, Fahmi turut menyampaikan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 Bilangan 1 Tahun 2026 kepada 12 filem berjumlah RM275,718.
Antara penerima ialah Badak terbitan ACT 2 Pictures Sdn Bhd, Irudhi Strike (SLY Entertainment Sdn Bhd), Penghukum Nusantara Assasin (Terang Film Sdn Bhd), Klepet (Wawa Global Sdn Bhd), Macai dan Blues (Skyzen Sdn Bhd), Duyung: Legenda Aurora serta 3 Hajat (KRU Studios Sdn Bhd), Ninavau (Kristal Azmir Sdn Bhd) dan Hero Friend-U (Dove Eyes Entertainment Sdn Bhd).
Turut tersenarai, 6 Jilake terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd serta Pemuja (Mangkin Prestij Sdn Bhd).
Selain itu, 17 penggiat seni menerima sumbangan wang tunai sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam industri, antaranya Zaiton Sameon, Emma Akma dan Mak Wan.
Simposium berkenaan diadakan bagi menghargai penggiat industri filem dan televisyen (TV) tanah air.
Hari Seniman Malaysia disambut setiap 22 Mac bersempena kelahiran Seniman Agung, P. Ramlee, namun sambutan tahun ini dianjak bagi memberi laluan kepada sambutan Aidilfitri.
























