SYDNEY: Tanah runtuh berlaku di sebuah lombong emas utama di Kepulauan Solomon, kata Pejabat Pengurusan Bencana negara Pasifik itu hari ini.
Lombong Gold Ridge yang dimiliki syarikat dari China itu adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi Kepulauan Solomon dan mula diperluaskan tahun lalu.
Pejabat Pengurusan Bencana Kebangsaan mengesahkan kepada AFP bahawa kejadian tanah runtuh itu berlaku di lombong yang terletak kira-kira 25 kilometer di tenggara ibu negara, Honiara.
Pasukan Polis Diraja Kepulauan Solomon bagaimanapun enggan mengesahkan jumlah kematian selepas portal berita tempatan, In-depth Solomons, melaporkan 10 mayat ditemukan di kawasan lombong berkenaan.
Di Honiara, Hospital Rujukan Kebangsaan berkata pihaknya bersedia menerima mangsa yang maut.
"Sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia," kata kakitangan hospital, Lyrex Alick, kepada AFP.
Rakaman gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan jentolak digunakan untuk mengalihkan timbunan tanah dan batu di lokasi kejadian.
Gold Ridge Mining dimiliki majoritinya oleh syarikat China, Wanguo International Mining, yang sebelum ini memaklumkan lombong berkenaan menyumbang hampir 25peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kepulauan Solomon tahun lalu.
Kedua-dua syarikat itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tragedi berkenaan.
Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon, Matthew Wale, sebelum ini mengumumkan rancangan melaksanakan pembaharuan besar-besaran terhadap sektor perlombongan bagi memastikan lebih banyak hasil industri itu dinikmati ekonomi tempatan. — AFP
























