SYDNEY: Australia menaikkan secara mendadak bayaran visa pelajar antarabangsa sebanyak 25 peratus tetapi mengecualikan pelajar dari Asia Tenggara dalam usaha meningkatkan hubungan dengan negara jiran serantau.
Kerajaan Persekutuan pada 3 Julai telah menaikkan bayaran yang tidak boleh dikembalikan untuk pelajar yang memohon visa di Australia daripada AUD$2,000 (RM5,717) kepada AUD$2,500 (RM7,148).
Namun, buat kali pertama, pelajar dari negara Asean dikecualikan daripada kenaikan tersebut dan hanya tertakluk kepada kenaikan yang diselaraskan oleh inflasi sebanyak AUD$50 (RM142.95), meningkatkan bayaran itu kepada AUD$2,050 (RM5,861).
Bayaran visa pelajar antarabangsa Australia adalah yang tertinggi di dunia.
Sebagai perbandingan, bayaran di Amerika Syarikat dan Britain, masing-masing sebanyak AS$535 (RM2,186) dan £558 (RM3,044).
Kenaikan bayaran tersebut dilakukan ketika kerajaan cuba menangani lonjakan migrasi sejak pandemik COVID-19.
Ia meningkat daripada AUD$710 (RM2,030) kepada AUD$1,600 (RM4,574) pada Julai 2024 dan kepada AUD$2,000 (RM5,717) pada Julai 2025.
Penolong Menteri Pendidikan Antarabangsa Australia, Julian Hill, memberitahu The Straits Times (ST), kerajaannya telah mengecualikan pelajar ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperdalam pembabitan Australia dengan Asia Tenggara.
Australia mengenakan bayaran yang lebih rendah – hanya AUD$745 (RM2,130) – untuk negara Pasifik, termasuk Timor-Leste, yang menjadi anggota ASEAN pada Oktober 2025, sebagai sebahagian daripada jangkauan diplomatiknya.
"Kadar bayaran visa yang dikurangkan untuk pelajar dari negara-negara Asean mencerminkan kepentingan Australia dalam mengalu-alukan pelajar bermutu tinggi dari Asia Tenggara," kata Hill.
"Australia dan negara-negara Asean berkongsi ikatan yang mendalam dan berkekalan. Justeru adalah penting bagi golongan muda kita meluangkan masa dalam tahun-tahun pembentukan mereka untuk mengenali antara satu sama lain dan membina ikatan sepanjang hayat," tambahnya.
Sejak 2022, Australia, yang kini menempatkan kira-kira 15,000 pelajar Malaysia, telah menjadi destinasi pengajian luar negara utama bagi rakyat Malaysia.
Ia kini mempunyai kira-kira 681,000 pelajar asing di universiti, kolej vokasional, sekolah dan institusi lain, termasuk 160,000 dari China, 111,000 (India), 61,000 (Nepal), 31,000 (Vietnam) dan Singapura (6,165). - AGENSI
























