CANBERRA: Seorang jururawat berada dalam keadaan serius, manakala 10 kakitangan lain mengalami masalah kesihatan selepas semburan penghalau serangga terlepas secara tidak sengaja di sebuah hospital utama di Australia Selatan (SA) pada Khamis, lapor Xinhua.
Perkhidmatan kecemasan dikerahkan ke Pusat Perubatan Flinders, antara hospital awam terbesar di Adelaide, ibu negeri SA, kira-kira 2 pagi waktu tempatan pada Khamis selepas semburan penghalau nyamuk untuk kegunaan luar yang terdapat dalam barangan milik seorang pesakit terlepas secara tidak sengaja ketika kakitangan menjalankan pemeriksaan keselamatan.
Ketua Eksekutif Jabatan Kesihatan dan Kesejahteraan SA, Robyn Lawrence, memberitahu Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa 11 kakitangan mengalami simptom susulan kejadian itu, dengan seorang berada dalam keadaan serius tetapi stabil, manakala dua lagi menerima rawatan di jabatan kecemasan.
Akhbar tempatan The Advertiser melaporkan seorang jururawat dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat kecederaan penyedutan.
Lawrence berkata tiada pesakit terjejas dalam kejadian itu.
Beliau berkata pasukan perkhidmatan bomba metropolitan turut dikerahkan ke lokasi dan menjalankan ujian terhadap udara serta permukaan bagi memastikan pencemaran telah dihapuskan sepenuhnya. – BERNAMA-XINHUA
























