SYDNEY: Australia akan meningkatkan liabiliti jenayah terhadap syarikat besar yang terbabit dalam amalan perhambaan moden membabitkan rantaian bekalan mereka, kata peguam tertinggi negara itu pada Khamis.
Langkah berkenaan diumumkan beberapa minggu selepas Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk mengenakan tarif perdagangan berhubung isu terbabit.
Peguam Negara, Michelle Rowland, memaklumkan undang-undang akan diperketatkan menerusi pengenalan kesalahan jenayah baharu sekiranya syarikat yang mencatatkan perolehan melebihi AUD100 juta (RM312.6 juta) gagal menyekat amalan perhambaan moden.
Ini termasuk isu buruh paksa dan perhambaan hutang dalam rantaian bekalan mereka di luar Australia.
"Rakyat Australia berhak untuk memastikan produk yang mereka beli tidak dihasilkan menerusi amalan perhambaan moden," katanya.
Sebelum ini, Kedutaan Australia telah mengemukakan bantahan selepas Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menyenaraikan negara itu bersama 60 negara lain untuk dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
Ia sebagai hukuman susulan kegagalan menyekat import barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa.
Menurut pihak kedutaan, sekitar 4,000 syarikat Australia melaporkan langkah pencegahan buruh paksa setiap tahun, manakala Polis Persekutuan Australia telah menyiasat 280 laporan perhambaan moden serta pemerdagangan manusia pada tahun lalu.
Pihak kedutaan menegaskan tiada asas bukti kukuh untuk mendakwa sistem Australia menjejaskan perdagangan AS.
Pesuruhjaya Anti-Perhambaan Australia, Chris Evans mengakui negara itu yang dahulunya adalah peneraju global dalam peraturan anti-perhambaan, kini telah ketinggalan berbanding negara lain yang mengambil tindakan lebih tegas.
Sementara itu, Pengarah Institut Hak Asasi Manusia Australia, Justine Nolan menyifatkan undang-undang yang digubal lapan tahun lalu sudah tidak lagi berkesanf.
Tambahnya, pindaan terbaharu itu sangat penting bagi memaksa syarikat mengambil tindakan tegas, sambil mengakui wujud kaitan antara garis masa perubahan itu dengan ancaman tarif oleh kerajaan AS.
Di bawah cadangan undang-undang baharu itu, syarikat yang berjaya membuktikan mereka telah mengambil langkah munasabah untuk mencegah perhambaan akan diberikan ruang pembelaan.
Canberra juga bakal memperkenalkan penalti sivil terhadap syarikat yang gagal mematuhi kewajipan sedia ada di bawah Akta Perhambaan Moden. - AFP
























