BH Online
Ringkasan Berita

Remaja lelaki Australia terdedah aktiviti jenayah pemerasan seksual

SYDNEY: Golongan remaja lelaki menjadi sasaran pemerasan seksual di platform media sosial, menurut badan pemantau keselamatan dalam talian Australia, hari ini.
Remaja lelaki Australia terdedah aktiviti jenayah pemerasan seksual

Foto janaan AI

SYDNEY: Golongan remaja lelaki menjadi sasaran pemerasan seksual di platform media sosial, menurut badan pemantau keselamatan dalam talian Australia, hari ini.

Pesuruhjaya eSafety Australia yang juga badan pemantau keselamatan dalam talian negara itu memaklumkan, dalam tempoh enam bulan sehingga Disember lalu, lebih 2,200 aduan diterima berhubung kes pemerasan seksual.

Jenayah dilakukan dengan memperdaya mangsa supaya berkongsi foto intim sebelum menuntut wang serta mengugut mendedahkannya kepada ahli keluarga dan rakan mereka.

Mengikut data badan terbabit, lelaki berusia antara 18 hingga 24 tahun menjadi sasaran utama dengan 803 aduan diterima daripada kelompok umur terbabit.

Selain itu, kanak-kanak berusia bawah 15 tahun turut menjadi mangsa, dengan sebanyak 186 aduan daripada kanak-kanak lelaki dan 58 aduan daripada kanak-kanak perempuan.

Laporan itu turut menyebut, Instagram dan WhatsApp adalah platform media sosial yang paling kerap disebut dalam aduan pemerasan seksual, manakala TikTok dikenal pasti oleh lebih ramai kanak-kanak sebagai platform yang menjadi titik permulaan bagi hubungan dengan pelaku.

Laporan itu mengetengahkan pengalaman seorang remaja, Sam, 16, berhubung penipuan seorang individu dikenali sebagai 'Jessica' semasa melayari Instagram.

Sam seterusnya menghubungi suspek menerusi perkhidmatan WhatsApp dan diminta berkongsi gambar bogel.

Tidak lama kemudian Sam diminta membayar AS$200 (RM815) dengan suspek mencadangkan wang itu dicuri daripada ibu bapanya. Jika Sam tidak berbuat demikian, gambar dengan cadangan dia mencurinya daripada ibu bapanya, atau gambar terbabit akan dihantar kepada semua rakan yang dikenalinya dalam talian.

Pesuruhjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant, berkata laporan itu menunjukkan terdapat 'jurang ketara' berhubung kaedah platform media sosial melindungi pengguna dan kepentingan syarikat teknologi memberikan respons lebih pantas kepada mangsa yang melaporkan ancaman diterima.

"Matlamat mereka selalunya adalah keuntungan kewangan yang cepat dengan pelaku memberikan tekanan demi tekanan untuk memaksa mangsa membuat bayaran. Bentuk pemerasan ini boleh menyebabkan tahap tekanan, panik, tekanan psikologi dan kerugian kewangan yang tinggi.

"Dalam beberapa kes, kami menyediakan bukti untuk memberitahu pihak platform media sosial bagaimana perkhidmatan mereka dipergunakan penjenayah sehingga memberi impak yang dahsyat, dengan panduan yang jelas mengenai cara membendung penyalahgunaan," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan