HAVANA: Ramiro Valdes, salah seorang rakan seperjuangan terawal Fidel Castro yang disanjung di Cuba sebagai wira Revolusi Cuba, meninggal dunia pada usia 94 tahun, menurut Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel menerusi media sosial.
Presiden itu tidak menyatakan punca kematian.Valdes, yang memegang pelbagai jawatan penting kerajaan selama beberapa dekad selepas pemberontak Castro mengambil alih kuasa pada 1959, dianugerahkan gelaran kehormat "Wira Republik" dan "Komander Revolusi".
Beliau juga merupakan anggota Biro Politik Parti Komunis Cuba yang memerintah sehingga 2019.
Dalam hantaran di media sosial X, Diaz-Canel berkata pemergian Valdes "amat menyayat hati, seperti kehilangan seorang bapa".
"Sehingga kemenangan, selamanya, Komander!" tulis beliau.
Dilahirkan pada 28 April 1932, Valdes baru berusia 21 tahun apabila beliau berjuang bersama Fidel Castro dalam serangan ke atas berek Moncada yang mencetuskan kebangkitan menentang kerajaan pimpinan Fulgencio Batista pada 1953.
Ketika hidup dalam buangan bersama Castro di Mexico, beliau merupakan salah seorang daripada 82 pejuang yang belayar menaiki kapal layar Granma ke Cuba pada 1956 untuk menghidupkan semula pemberontakan.
Hanya 12 orang terselamat, termasuk Fidel Castro, adiknya Raul Castro dan revolusioner Argentina, Ernesto 'Che' Guevara.
Valdes kemudian menyertai Castro bersaudara di pergunungan Sierra Maestra di timur Cuba dan berkhidmat sebagai timbalan komander kepada Che Guevara.
Beliau turut bertempur bersama Guevara dalam Pertempuran Santa Clara yang menjadi titik penentu sebelum Batista melarikan diri dari negara itu pada 1 Januari 1959.
Selepas Fidel Castro mengambil alih kuasa, Valdes mengetuai agensi keselamatan yang ditubuhkan oleh kerajaan baharu.
Beliau dikenali sebagai tokoh yang mempunyai karisma tersendiri seperti Castro dan Guevara, sering tampil dengan pakaian seragam hijau zaitun.
Sehingga akhir hayatnya, beliau mengekalkan janggut gaya Leon Trotsky yang menjadi identitinya sejak zaman awal revolusi.
Sebagai peminat kecergasan, beliau terus bersenam secara aktif walaupun sudah berusia lebih 80 tahun.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Maklumat dan Komunikasi serta Naib Presiden Cuba.
Walaupun Raul Castro berusaha menyerahkan kuasa daripada generasi revolusi lama kepada pemimpin yang lebih muda, termasuk menyerahkan jawatan presiden kepada Diaz-Canel pada 2018, Valdes terus memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu krisis tenaga di pulau berkenaan.
Beliau masih aktif menangani masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di Cuba dan sering muncul bersama Diaz-Canel dalam pakaian tentera untuk menggesa rakyat menjimatkan penggunaan elektrik serta mengekalkan semangat revolusi.
Valdes kekal setia kepada revolusi, pemimpinnya dan sistem satu parti Cuba, termasuk ketika negara itu melalui tempoh yang paling sukar.
"Kita tidak boleh lupa bahawa kita berada di sini kerana perpaduan rakyat dan kepercayaan mereka terhadap revolusi," kata Valdes semasa sambutan ulang tahun ke-61 serangan Moncada pada 2014.
"Kita mesti mempertahankan perpaduan ini melebihi segala-galanya kerana kita sedar perjuangan ini masih belum berakhir." - REUTERS
























