BH Online
Ringkasan Berita

5 pendaki Bosnia disahkan maut di Gunung Elbrus, Russia

SARAJEVO: Lima pendaki dari Bosnia disahkan maut selepas terperangkap dalam ribut kuat ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia, gunung tertinggi di Eropah.
5 pendaki Bosnia disahkan maut di Gunung Elbrus, Russia

Pemandangan Gunung Elbrus di Kabardino-Balkaria memperlihatkan puncak yang dilitupi salji dan awan. - Foto AFP

SARAJEVO: Lima pendaki dari Bosnia disahkan maut selepas terperangkap dalam ribut kuat ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia, gunung tertinggi di Eropah.

Agensi berita RIA Novosti melaporkan, Kementerian Kecemasan Russia berkata, daripada tujuh pendaki dalam kumpulan berkenaan, mayat dua mangsa sudah ditemukan pada ketinggian 5,350 meter di gunung itu.

Jawatankuasa Siasatan Russia pula memaklumkan pasukan penyelamat menemui mayat tiga lagi pendaki, namun operasi membawa turun mayat mereka terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk.

Dua lagi pendaki yang terselamat berjaya dibawa turun dari gunung berkenaan untuk menerima rawatan.

Walaupun pihak berkuasa Russia tidak mendedahkan kewarganegaraan mangsa, agensi penguat kuasa tempatan mengesahkan kepada RIA Novosti bahawa pendaki yang maut berasal dari Bosnia dan Herzegovina.

Media Bosnia melaporkan, tujuh anggota ekspedisi pendakian itu berasal dari bandar Zenica di tengah Bosnia, termasuk pasangan suami isteri dan seorang doktor wanita yang bertugas di hospital tempatan.

Media Russia melaporkan, operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran akibat cuaca buruk termasuk angin kencang.

Gunung Elbrus dengan ketinggian 5,642 meter dan terletak berhampiran sempadan Georgia terkenal dengan perubahan cuaca mendadak serta keadaan pendakian yang mencabar. — REUTERS

Video Terkini

Berita Berkaitan