BH Online
Ringkasan Berita

Perjanjian nuklear AS-Saudi cetus kebimbangan risiko pertambahan senjata

PARIS: Perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi untuk membangunkan program nuklear awam di negara Teluk itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai risiko pertambahan senjata nuklear.
Perjanjian nuklear AS-Saudi cetus kebimbangan risiko pertambahan senjata

Satu perjanjian antara AS dan Arab Saudi untuk melengkapkan kerajaan dengan program nuklear awam telah menimbulkan limpahan persoalan mengenai risiko percambahan nuklear. - Foto AFP

PARIS: Perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi untuk membangunkan program nuklear awam di negara Teluk itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai risiko pertambahan senjata nuklear.

Walaupun teks penuh perjanjian itu belum didedahkan kepada umum, media AS melaporkan ia membolehkan Washington mengeksport teknologi nuklear kepada Riyadh tanpa beberapa syarat perlindungan yang lazim dikenakan bagi menghalang teknologi tersebut digunakan untuk tujuan ketenteraan pada masa depan.

Perjanjian kerjasama nuklear dua hala yang dimeterai AS itu kebiasaannya mengandungi syarat ketat berkaitan pencegahan percambahan senjata, termasuk melarang negara rakan memperkayakan uranium di dalam negara.

Bagaimanapun, syarat sedemikian dipercayai tidak dikenakan terhadap Arab Saudi, walaupun perjanjian itu masih memerlukan kelulusan Kongres AS.

Setakat ini, Riyadh juga belum mengulas pengumuman Presiden AS, Donald Trump yang meletakkan syarat supaya Arab Saudi menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.

Trump pada Khamis menegaskan tiada aktiviti memperkayakan bahan nuklear akan dibenarkan di Arab Saudi, susulan laporan Wall Street Journal bahawa satu peruntukan dalam perjanjian itu mungkin membolehkan syarikat AS membina kemudahan pengayaan uranium di negara berkenaan.

Penganalisis, Michael Horowitz berkata, jika Riyadh sekadar mahukan sokongan AS bagi program nuklear awam, ia boleh melakukannya sejak dahulu lagi.

Sebaliknya, beliau berpandangan Arab Saudi berusaha mendapatkan sokongan Washington bagi satu perjanjian yang tidak menutup sepenuhnya laluan kepada pembangunan program senjata nuklear.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan perjanjian tersebut tetap mengandungi mekanisme bagi menghalang percambahan senjata nuklear.

Pakar dari Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI), Heloise Fayet bagaimanapun menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang boleh menggugat kestabilan serantau kerana memberi gambaran AS mengamalkan layanan berbeza dalam dasar pencegahan pertambahan senjata nuklear.

Beliau berkata, persepsi itu jelas merujuk kepada Iran, yang diserang AS dan Israel pada penghujung Februari atas alasan menghalang Tehran memperoleh senjata nuklear.

Iran sejak sekian lama menafikan dakwaan mahu membangunkan senjata nuklear dan menegaskan haknya untuk memperkayakan uranium bagi tujuan penjanaan tenaga.

Seorang lagi pakar Asia Barat dari Yayasan Jean-Jaures yang berpangkalan di Paris, David Khalfa berkata, Washington sukar mempertahankan pendiriannya mengenai dasar pencegahan percambahan nuklear jika pada masa sama meluluskan perjanjian sedemikian dengan Arab Saudi.

Katanya, Arab Saudi tidak sepatutnya diberi layanan istimewa kerana ia boleh menjejaskan keseluruhan seni bina keselamatan antarabangsa yang dibangunkan sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Fayet turut berpendapat AS dilihat mengorbankan peranannya sebagai peneraju dasar pencegahan percambahan senjata nuklear demi kepentingan ekonomi serta hubungan strategik dengan Arab Saudi.

Menurut beliau, langkah itu juga boleh ditafsirkan sebagai usaha Washington memulihkan hubungan dengan negara Teluk susulan kesan peperangan terhadap Iran yang mencetuskan tindak balas terhadap beberapa negara di rantau berkenaan.

Penganalisis dari badan pemikir Defense Priorities berpangkalan di Washington, Rosemary Kelanic pula berpandangan bahawa pemberian keupayaan memperkayakan uranium kepada Arab Saudi akan memberi kelebihan kepada Riyadh untuk menekan AS mendapatkan jaminan keselamatan pada masa depan dengan mengancam untuk membangunkan senjata nuklear.

Namun, beberapa pemerhati percaya kebimbangan itu mungkin diketepikan demi matlamat strategik Washington untuk mengekang pengaruh China di Asia Barat.

Pakar dari Quincy Institute for Responsible Statecraft, Trita Parsi berkata, kredibiliti payung keselamatan AS semakin terhakis selepas konflik dengan Iran, menyebabkan negara-negara Teluk mula mempelbagaikan kerjasama dengan kuasa lain.

Menurut beliau, keadaan itu memaksa Washington menawarkan lebih banyak hak rasmi kepada Arab Saudi bagi mengelakkan Riyadh semakin menghampiri China, namun memperoleh pulangan yang lebih kecil sebagai balasan.

Video Terkini

Berita Berkaitan