LĂˆGE-CAP-FERRET (PERANCIS): Kebakaran hutan yang diburukkan lagi dengan keadaan cuaca panas terik dan angin kencang, merebak pantas di beberapa bahagian Eropah Barat, hari ini.
Bencana itu menyebabkan darurat diisytiharkan di wilayah ibu kota Sepanyol, manakala Perancis terpaksa meminta bantuan daripada Kesatuan Eropah (EU).
Pihak berkuasa Perancis mengarahkan ribuan pelancong untuk mengosongkan tapak perkhemahan dan rumah percutian di pantai Atlantik, sementara pasukan bomba dengan bantuan pesawat pengebom air pula bertungkus lumus mengawal kebakaran.
Menurut data satelit daripada Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), keluasan kawasan musnah akibat kebakaran di negara-negara anggota EU setakat tahun ini adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan.
Tiga anggota bomba bertugas dilaporkan maut, tatkala Eropah Selatan dicengkam bahang cuaca panas semakin buruk dengan suhu melonjak hingga mencecah 40 darjah Celsius di sesetengah kawasan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini memaklumkan bahawa negaranya telah menggunakan mekanisme perlindungan awam EU untuk meminta bantuan, sekali gus memberi amaran bahawa krisis berkenaan masih kekal pada tahap 'amat genting.'
Semalam, pesuruhjaya pengurusan krisis EU, Hadja Lahbib, berkata blok itu memberikan bantuan tiga pesawat pengebom air kepada Perancis.
Seorang penduduk Le Porge di selatan Bordeaux, Patrick Martineau, 69, berkata: "Anggota pasukan pihak berkuasa datang mengetuk pintu setiap rumah ketika kebakaran sedang marak dari jarak kira-kira 500 meter. Kami hanya sempat mengambil beberapa barang sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri."
Bahagian tenggara Perancis turut terjejas teruk dengan berpuluh-puluh kejadian kebakaran yang dimarakkan lagi oleh tiupan angin 'mistral' di sekitar perkampungan bersejarah Cotignac di mana polis mengesahkan kira-kira 25 kediaman telah musnah sejak Selasa lalu.
Sementara itu, ribuan petugas kecemasan di Itali bergelut memadamkan kebakaran di Sicily serta wilayah Calabria di mana seorang pegawai tempatan mendakwa kejadian berpunca daripada perbuatan khianat - kain rendaman cecair mudah terbakar diikat pada ekor kucing jalanan bagi menyebarkan api.
Seorang anggota bomba dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh sakit ketika menyertai operasi memadam kebakaran di Sicily, menurut Menteri Dalam Negeri.
Di sekitar Bordeaux pula, lebih 20,000 orang yang kebanyakannya pelancong menginap di tapak perkhemahan dan rumah sewa percutian, dipindahkan sejak Rabu lalu ketika api marak memusnahkan hutan pain berhampiran pantai.
Pihak berkuasa memaklumkan setakat ini, kebakaran di bahagian utara berjaya dikawal, namun api masih belum dapat dikawal sepenuhnya di bahagian selatan.
Dua anggota bomba dilaporkan maut, Selasa lalu, ketika memadam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux.
Di Sepanyol pula, kerajaan mengisytiharkan darurat di wilayah Madrid di mana lebih 10,000 orang telah dipindahkan sejak beberapa hari lalu.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan bahawa mesej amaran telah dihantar kepada orang ramai di Aldea de Fresno yang juga bandar di barat Madrid, untuk mengarahkan mereka keluar dari kawasan itu.
Sejumlah 18 unit bomba bersama pasukan khas terus bekerja keras mengawal kebakaran di lokasi berdekatan satu lagi kebakaran hutan berhampiran bandar Toledo yang menyaksikan penduduk beberapa perkampungan terpaksa dipindahkan.
Anggota bomba bertungkus lumus menjalankan operasi pemadaman semalaman sebelum kebanyakan penduduk dibenarkan pulang, semalam.
Dalam pada itu, ratusan anggota bomba dan tentera masih bergelut untuk mengawal satu kebakaran hutan yang lebih besar di wilayah Guadalajara, utara Madrid.
























