PARIS: Parlimen Perancis hari ini, meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah mengakses media sosial, menjadikannya negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) melakukan larangan sedemikian.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menjadikan larangan itu sebagai antara pembaharuan utama dalam penggal terakhir pentadbirannya dan berikrar menguatkuasakannya menjelang September ini.
Beliau turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan.
"Perancis menerajui Eropah dalam usaha melindungi kanak-kanak dan remaja," kata Macron menerusi rakaman video dimuat naik di media sosial, sambil menyifatkannya sebagai 'langkah besar ke hadapan'.
"Kini Majlis Perlembagaan perlu membuat keputusan mengenainya, sebelum tindakan lanjut diambil bagi menzahirkan pelaksanaan undang-undang ini dan melindungi kanak-kanak dalam talian," katanya menerusi platform X.
Selepas diluluskan Senat semalam, Dewan Negara kemudian meluluskan RUU itu dengan 279 undi menyokong, manakala 81 lagi membantah.
Larangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah tidak lagi dibenarkan membuka akaun baharu, bermula 1 September.
Larangan terhadap akaun sedia ada pula akan berkuat kuasa mulai Januari 2027, seperti diperuntukkan RUU itu.
Sementara itu, Menteri Digital, Anne Le Henanff, menyifatkan jadual pelaksanaan itu realistik kerana teknologi pengesahan umur sudah tersedia, selain beberapa sistem lain sedang dibangunkan, manakala tanggungjawab pelaksanaan terletak kepada penyedia platform.
"Semua pengguna di Perancis perlu membuktikan umur masing-masing dalam tempoh empat bulan, sebelum akaun mereka ditutup, jika didapati berusia 15 tahun ke bawah," katanya sambil memberi jaminan data peribadi akan terus dilindungi.
Pelaksanaannya pada September ini juga membolehkan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah menengah yang turut termaktub dalam RUU itu, dikuatkuasakan pada permulaan sesi persekolahan baharu.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada laman seperti ensiklopedia dalam talian dan platform pendidikan, namun RUU itu tidak memperuntukkan sebarang hukuman terhadap kanak-kanak atau ibu bapa mereka.
EU kini sedang mempertimbangkan langkah serupa susulan desakan beberapa negara anggota, termasuk Perancis, Greece dan Sepanyol, supaya akses media sosial dihadkan mengikut umur.
Minggu lalu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata kanak-kanak seharusnya diberi akses kepada media sosial secara 'berperingkat dan terkawal'.
Suruhanjaya Eropah turut memperkenalkan aplikasi pengesahan umur yang kini sedang diuji beberapa negara anggota EU, termasuk Perancis.
Selepas kerajaan Perancis menggantung pelaksanaan pembaharuan sistem pencen tahun lalu, sekatan media sosial itu dijangka menjadi pembaharuan domestik utama terakhir beliau sebelum menamatkan penggal pentadbirannya, tahun depan.
Pelaksanaan dasar itu di Perancis akan menjadi perhatian negara Eropah lain kerana Paris adalah antara 20 negara di dunia yang mencadangkan atau melaksanakan langkah seumpamanya.
Australia pada Disember lalu, menjadi negara pertama di dunia mewajibkan platform seperti TikTok, YouTube, Snapchat dan beberapa platform utama lain memadam akaun milik pengguna berusia 16 tahun ke bawah atau berdepan denda tinggi. - AFP
























