BH Online
Ringkasan Berita

19 anggota sindiket seludup bayi Indonesia ke Singapura dipenjara

JAKARTA: Mahkamah Bandung semalam, memerintahkan seorang warga emas dipenjara tujuh tahun selepas wanita berusia 70 tahun itu disabitkan kesalahan pemerdagangan manusia.
19 anggota sindiket seludup bayi Indonesia ke Singapura dipenjara

Antara anggota sindiket seludup bayi Indonesia ke Singapura yang ditahan pihak berkuasa Indonesia. - Foto AFP

JAKARTA: Mahkamah Bandung semalam, memerintahkan seorang warga emas dipenjara tujuh tahun selepas wanita berusia 70 tahun itu disabitkan kesalahan pemerdagangan manusia.

Lie Siu Luan, 70, didapati bersalah kerana mendalangi sindiket penyeludupan dan penjualan puluhan bayi warga Indonesia, termasuk lebih 10 yang dihantar ke Singapura.

Siu Luan bersama 18 tertuduh wanita lain yang turut didapati bersalah, dibicarakan bagi dakwaan memperdagangkan sekurang-kurangnya 34 bayi, antara 2023 hingga 2025, sejak April lalu.

Tertuduh yang lebih dikenali sebagai Popo dan Lily didapati menyelaraskan pengambilan bayi, menyediakan dokumen anak angkat palsu dan mengatur penghantaran bayi ke luar negara.

Dia turut didakwa memalsukan dokumen rasmi berkaitan syarat anak angkat dan diarahkan menjalani hukuman penjara selama 79 bulan.

Selain Popo, mahkamah turut memerintahkan ketua perekrut sindiket itu, Astri Fitrinika, bersama dua lagi, Djaka Hamdani dan Elin Marlina, dipenjara selama 79 bulan.

Terdahulu, Pendakwa Raya, Teti Saraswati, memohon hukuman penjara 10 tahun terhadap keempat-empat tertuduh, namun ditolak panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Gatot Agustriono.

Teti berkata, sekurang-kurangnya 12 bayi diseludup ke Singapura dengan setiap daripadanya dijual antara 200 juta hingga 250 juta rupiah (RM52,000 hingga RM65,000).

Beliau turut mengesahkan lapan bayi dibeli sindiket tetapi belum diserahkan kepada keluarga angkat, akan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Sosial Jawa Barat.

Bagaimanapun, nasib bayi yang sudah ditempatkan bersama keluarga angkat, termasuk di Singapura, masih belum diputuskan dengan siasatan berhubung perkara itu masih diteruskan.

Menerusi penghakiman kes itu, Siu Luan didapati bersalah merekrut, melindungi, menerima, menghantar atau memindahkan seseorang bagi tujuan eksploitasi di dalam wilayah Indonesia.

Sementara itu, 14 lagi tertuduh yang berperanan sebagai penjaga bayi dipenjara 40 bulan, lebih rendah berbanding hukuman lima tahun dimohon pihak pendakwaan.

Sepanjang siasatan dan perbicaraan, Lily dan Astri mengaku melakukan sebahagian besar kesalahan, namun menegaskan tiada bayi diculik kerana semua diserahkan secara sukarela oleh ibu bapa kandung, selain mendakwa mereka dijaga dengan baik.

Peguam mewakili Lily, Sendi Sanjaya, ketika ditemui selepas prosiding berkata Siu Luan tidak akan mengemukakan rayuan, selain memaklumkan kerjasama antara Siu Luan dan pihak berkuasa serta faktor usia, dipercayai antara pertimbangan bagi hukuman lebih ringan.

Lai Su Hua, yang didakwa memalsukan dokumen kerajaan berkaitan syarat pengambilan anak angkat, turut dijatuhi hukuman penjara enam tahun tujuh bulan.

Selain Sui Luan, 16 tertuduh lain turut menerima hukuman masing-masing, manakala Su Hua memaklumkan akan mengemukakan rayuan dan penjaga bayi, Tjen Se Ha sedang mempertimbangkan permohonan itu.

Kes penyeludupan bayi itu terbongkar pada Julai 2025, selepas pihak berkuasa Indonesia menahan lebih 10 suspek di Jawa Barat susulan laporan seorang penduduk, Dani Hidayat.

Dani sebelum itu, menyertai kumpulan bagi individu mahu mengambil anak angkat di Facebook kerana isterinya sedang sarat mengandung dan tidak mampu menyara bayi bakal dilahirkan.

Beliau kemudian dihubungi Astri yang menawarkan bayaran lapan juta rupiah sebagai balasan untuk menyerahkan anaknya. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan