BH Online
Ringkasan Berita

Ratusan terpaksa berpindah di selatan Perancis akibat kebakaran hutan

COTIGNAC: Lebih 400 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan yang merebak pantas di selatan Perancis, sejak semalam.
Ratusan terpaksa berpindah di selatan Perancis akibat kebakaran hutan

Sebuah rumah terbakar di Cotignac, tenggara Perancis. Kebakaran hutan yang merebak dengan pantas di selatan Perancis memaksa hampir 400 penduduk dipindahkan dari beberapa kampung. - Foto AFP

COTIGNAC: Lebih 400 penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan yang merebak pantas di selatan Perancis, sejak semalam.

Pemindahan itu dibuat ketika hampir 1,000 anggota bomba dibantu pesawat berusaha mengawal kebakaran yang merebak ke kawasan bukit berhutan di wilayah Var.

Kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1,700 hektar dalam tempoh beberapa jam, selain lebih 2,300 rumah terputus bekalan elektrik hingga awal pagi tadi.

Dalam kes berasingan, kebakaran berskala besar turut memusnahkan kawasan seluas hampir 200 hektar dan beberapa rumah di wilayah Var, berhampiran Les Arcs-sur-Argens, antara Ahad lalu hingga kelmarin.

Kebakaran hutan turut berlaku di beberapa kawasan lain di Perancis. Di Alps, kebakaran yang dipercayai berpunca akibat disambar petir sejak lima hari lalu, memusnahkan kawasan terpencil di banjaran gunung Ecrins dengan keluasan kira-kira 130 hektar.

Di pulau Corsica di Laut Mediterranean pula, anggota bomba masih berusaha memadam kebakaran berhampiran Corte yang berlarutan selama sembilan hari.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, berkata hampir 40,000 hektar kawasan dekat seluruh Perancis terbakar sejak awal tahun, dengan keluasan itu jauh melebihi jumlah keseluruhan sepanjang 2025.

EUROPE-WEATHER/FRANCE-WILDFIRE_0e70e4e4414741dd9dd9ca58aee950e1
Api marak membakar kawasan hutan berhampiran Pontevès di wilayah Var, tenggara Perancis, ketika kebakaran hutan yang dipacu keadaan kering susulan gelombang haba. - Foto REUTERS

Sementara itu, pegawai wilayah Var, Simon Barbre, berkata kebakaran merebak ke Gunung Gros Bessillon dengan sangat cepat dan di luar jangkaan kerana keadaan cuaca serta angin semakin lemah.

Katanya, proses pemindahan membabitkan kawasan sekitar kampung Cotignac, Montfort-sur-Argens dan Correns, selain kru udara sedang membangunkan penghadang menggunakan bahan kalis api bagi mengelak kebakaran terus merebak.

Kebanyakan mangsa dipindahkan berasal dari Ponteves, lokasi kebakaran bermula serta kampung berhampiran, Sillans-la-Cascade.

Perkhidmatan kaji cuaca Perancis, Meteo-France, memaklumkan keadaan cuaca amat kering menyebabkan risiko kebakaran hutan berada pada tahap sangat tinggi.

Ketua Bomba Var, Eric Grohin, pula berkata kes itu adalah keutamaan di seluruh wilayah ketika ini, selain hampir 1,000 anggota dikerahkan bagi operasi memadamkan api.

Pihak berkuasa tempatan turut memaklumkan sebuah jentera bomba mengalami kerosakan, manakala empat anggota dan dua penduduk Ponteves mengalami sesak nafas ringan akibat terhidu asap.

Lebih 100 pelepasan air dan bahan kalis api dilakukan pasukan pemadam kebakaran, menggunakan lapan pesawat pengebom air Canadair, empat helikopter serta dua pesawat Dash, sebelum operasi udara ditangguhkan, malam tadi.

Kebakaran hutan di Perancis tahun ini, bermula lebih awal berbanding biasa susulan gelombang haba dan kemarau berulang, menyebabkan anggota bomba terpaksa menangani kebakaran hampir setiap hari sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan