LONDON: Andy Burnham yang digelar sebagai 'King of the North' akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Britain yang ketujuh, hari ini.
Beliau dilapor menyatakan janji untuk 'merombak semula' pentadbiran negara bagi memberi tumpuan kepada isu yang menjadi keutamaan rakyat, termasuk kos sara hidup dan kelemahan perkhidmatan awam.
Burnham mengambil alih jawatan itu selepas Keir Starmer mengumumkan hasrat berundur di luar pejabat rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street sebelum menghadap Raja Charles III bagi menyerahkan peletakan jawatannya secara rasmi.
Burnham, yang juga bekas Datuk Bandar Greater Manchester yang berusia 56 tahun itu kemudian dijadual menghadap Raja Charles III untuk dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri baharu Britain.
Beliau bakal berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan, prestasi utiliti awam yang lemah serta tekanan kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat.
Antara tugas awalnya adalah mengumumkan barisan Kabinet baharu, yang sudah menjadi perhatian dalam Parti Buruh.
Burnham menyifatkan pemilihannya sebagai pemimpin Parti Buruh sebagai 'detik perubahan politik paling penting dalam tempoh 40 tahun' dan berikrar melakukan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem politik Britain bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dengan lebih pantas.
"Kerajaan yang saya pimpin akan mula membentangkan hala tuju itu mulai minggu depan.
"Ia akan membawa negara ini ke arah kehidupan yang lebih mampu milik dan memastikan semua rakyat serta setiap kawasan menikmati manfaat pembangunan," katanya pada Jumaat lalu.
Beliau turut menyampaikan mesej itu kepada ahli Parlimen Parti Buruh, yang melihat Burnham sebagai antara segelintir pemimpin yang mampu mengekang pengaruh parti populis Reform UK pimpinan veteran kempen Brexit, Nigel Farage, sesuatu yang dipercayai gagal dilakukan oleh Starmer.
Cabaran pertama Burnham juga adalah melantik anggota Kabinet, khususnya Menteri Kewangan baharu, memandangkan hubungan antara Perdana Menteri dan penyandang portfolio itu sering menjadi faktor penting dalam kestabilan pentadbiran Britain.
Menteri Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih Karbon, Ed Miliband, sebelum ini disebut-sebut sebagai calon utama, namun Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood pula dilihat sebagai pilihan utama.
Bagaimanapun, Burnham menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai pelantikan itu dan menegaskan beliau masih belum memuktamadkan barisan pentadbirannya.
Pasukan Burnham juga dijangka bertindak pantas melaksanakan agenda dasar baharu, antaranya keputusan untuk membatalkan cadangan mewajibkan semua pekerja memiliki dokumen pengenalan digital, yang sebelum ini diperkenalkan bagi menangani pendatang tanpa izin tetapi dikritik jawatankuasa dwipartisan Parlimen sebagai satu 'kegagalan'.
Tumpuan selepas ini dijangka beralih kepada dasar percukaian dan perbelanjaan kerajaan, industri minyak dan gas serta usaha memperkukuh kawalan kerajaan terhadap syarikat utiliti yang berprestasi lemah.
Timbalan pemimpin Parti Buruh, Lucy Powell, turut membayangkan syarikat utiliti Thames Water yang dibelenggu hutang mungkin diletakkan di bawah 'langkah khas' untuk membolehkan kerajaan mengambil alih kawalan operasinya.
Menurut Powell, Burnham mahu menyusun semula keutamaan kerajaan dengan menumpukan sumber dan perhatian kepada usaha menangani kos sara hidup serta merombak cara ekonomi Britain berfungsi demi kepentingan rakyat.
























