LONDON: Pilihan Raya Kecil (PRK) di Clacton, timur England yang dijadual berlangsung bulan depan Britain bakal menyaksikan pertembungan 34 calon.
Antara nama besar yang sah bertanding adalah ahli politik anti-imigran yang juga pemimpin parti populis Reform UK, Nigel Farage, disifatkan sebagai saingan hebat kepada Parti Buruh yang memerintah UK sekarang.
Dalam pada itu, beberapa calon 'kacau daun' yang bertanding setiap kali pilihan raya diadakan, umpamanya Count Binface, yang juga seorang pelawak profesional.
Binface terkenal dengan watak satira yang digelar 'pahlawan angkasa lepas antara galaksi' dengan memakai tong sampah besar di kepala, lengkap berbaju perisai dan jubah kelabu.
Namun, Binface bukan satu-satunya calon dalam kalangan pelawak yang bertanding kali ini.
Alan 'Howling Laud' Hope dari parti Official Monster Raving Loony turut bertanding bersama dua lagi wakil parti itu iaitu timbalan pemimpinnya, Baron Von Thunderclap dan bendahari, Nick the Flying Brick yang terkenal dengan manifesto mahu menghapuskan graviti.
Parti Official Monster Raving Loony adalah parti politik satira Britain yang ditubuhkan pada 1983 oleh pemuzik Screaming Lord Sutch.
Lort Sutch terkenal dengan satira politik arus perdana melalui manifesto yang bersifat jenaka dan luar biasa, selain menggunakan slogan 'Undilah Kegilaan'.
Majlis Daerah Tendring mengesahkan jumlah 34 calon itu mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) Britain, selepas tempoh pencalonan ditutup semalam.
Parti politik arus perdana Britain memutuskan memboikot PRK itu selepas Farage mengumumkan awal bulan ini, akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum bertanding semula.
Langkah itu diambil Farage sebagai usaha kononnya ia dapat meredakan kontroversi yang semakin memuncak berkaitan isu kewangan.
Pemimpin parti Reform UK itu yang mendahului tinjauan pendapat nasional selama lebih setahun, berdepan tekanan berhubung kegagalannya mengisytiharkan beberapa hadiah yang diterima, termasuk disumbangkan oleh seorang individu yang pernah disabitkan kesalahan penipuan.
Susulan tindakan boikot beberapa parti utama, Binface dikatakan bakal menjadi pencabar paling dikenali yang akan berdepan Farage pada PRK yang dijadual berlangsung 13 Ogos depan. - AFP
























