BH Online
Ringkasan Berita

Yaman bersedia hadapi sebarang peningkatan konflik dengan Houthi

RIYADH: Kerajaan Yaman menegaskan ia bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik dengan kumpulan pemberontak Houthi susulan serangan dron dan sekatan maritim dilancarkan kumpulan disokong Iran itu terhadap Arab Saudi.
Yaman bersedia hadapi sebarang peningkatan konflik dengan Houthi

Imej edaran Pusat Media Ansarullah menunjukkan serpihan dron Arab Saudi yang didakwa ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di barat laut wilayah al-Jawf, Yaman. - Foto AFP

RIYADH: Kerajaan Yaman menegaskan ia bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik dengan kumpulan pemberontak Houthi susulan serangan dron dan sekatan maritim dilancarkan kumpulan disokong Iran itu terhadap Arab Saudi.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan baharu bahawa pertempuran antara Arab Saudi dan Houthi boleh kembali memuncak, sekali gus mengancam kestabilan Semenanjung Arab serta meningkatkan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

"Pada akhirnya, kami bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik," kata Menteri Luar Yaman yang dilantik, Afrah al-Zouba, kepada pemberita pada taklimat di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, semalam.

Beliau membuat kenyataan itu hanya beberapa jam selepas Houthi mendakwa melancarkan serangan dron baharu menyasarkan infrastruktur minyak Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap dakwaan pencerobohan dron milik kerajaan itu.

Al-Zouba berkata, kerajaan Yaman kini semakin bimbang kumpulan pemberontak yang disokong Tehran itu cuba meniru strategi Iran di Selat Hormuz untuk mendapatkan kawalan ke atas Selat Bab al-Mandeb.

Selat terbabit adalah laluan maritim strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden di pesisir Yaman.

Beliau berkata, laluan sempit itu menjadi nadi penting penghantaran minyak mentah Arab Saudi ke pasaran antarabangsa, terutama selepas trafik perkapalan di Selat Hormuz terjejas akibat konflik di kawasan berkenaan.

Minggu lalu, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mendakwa melancarkan beberapa serangan ke atas kapal tangki minyak serta kemudahan infrastruktur tenaga negara itu.

"Houthi mahu meniru pengalaman Iran di Hormuz, mereka percaya mampu menguasai Laut Merah," katanya sambil menambah kumpulan itu bertindak seiring dengan peningkatan ketegangan yang didorong Iran di rantau berkenaan.

Al-Zouba berkata, keadaan keselamatan di Yaman kekal tegang apabila pertempuran antara pasukan Houthi dan tentera kerajaan berlaku hampir setiap hari di beberapa kawasan di seluruh negara.

Gabungan tentera diketuai Arab Saudi sebelum ini melancarkan operasi ketenteraan bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa selepas perang saudara tercetus pada 2015.

Peningkatan ketegangan terbaharu antara Arab Saudi dan Houthi menandakan kali pertama dalam tempoh beberapa tahun kedua-dua pihak kembali berbalas serangan, sekali gus mengancam gencatan senjata yang dicapai pada 2022, meskipun perjanjian itu telah tamat tempoh tetapi masih dipatuhi kedua-dua pihak. - AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan