BH Online
Ringkasan Berita

Pemimpin kanan Korea Utara bidas ASEAN kerana gesa nyahnuklear

SEOUL: Adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengecam ASEAN kerana menggesa Semenanjung Korea bebas senjata nuklear, sambil menyifatkan pendirian itu sebagai ‘bodoh dan tidak masuk akal’.
Pemimpin kanan Korea Utara bidas ASEAN kerana gesa nyahnuklear

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Am Parti Pekerja Korea Utara, Kim Yo-jong, yang juga adik kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto REUTERS

SEOUL: Adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mengecam ASEAN kerana menggesa Semenanjung Korea bebas senjata nuklear, sambil menyifatkan pendirian itu sebagai 'bodoh dan tidak masuk akal'.

Kim Yo-jong, yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Am Parti Pekerja Korea Utara, berkata beliau tidak berpuas hati dengan pendirian ASEAN.

Beliau menyifatkan ASEAN tunduk mengikut tekanan Amerika Syarikat (AS) dalam gesaan untuk melucutkan senjata nuklear Pyongyang.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, beliau berkata usaha untuk mewujudkan Semenanjung Korea tanpa senjata nuklear sudah tidak lagi relevan dari segi konsep dan hakikat.

"Terus berpegang kepada idea 'pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea' yang sudah kehilangan makna dari sudut konsep dan hakikat adalah kegagalan dalam pemikiran strategik serta logik, selain mencerminkan impian yang bodoh lagi tidak masuk akal," katanya.

Beliau turut menggesa ASEAN supaya berhati-hati supaya tidak 'dipergunakan sebagai alat penyampai suara AS'.

Pada Jun lalu, Yo-jong yang memainkan peranan penting dalam dasar luar dan komunikasi Korea Utara berkata, program senjata nuklear negara itu adalah pendirian yang tidak akan berubah.

Korea Utara berulang kali menegaskan dirinya sebagai negara nuklear yang tidak boleh diubah sejak rundingan antara Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump, pada 2019 gagal mencapai persetujuan berhubung pelucutan senjata nuklear serta pengurangan sekatan ekonomi.

Dalam forum serantau tahunan minggu lalu, ASEAN menyatakan 'kebimbangan serius' terhadap pembangunan senjata nuklear Korea Utara yang berterusan.

ASEAN turut menegaskan kepentingan dialog bagi mencapai keamanan dan kestabilan berpanjangan di Semenanjung Korea tanpa senjata nuklear.

Namun, Korea Utara sejak sekian lama mempertahankan haknya membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik, walaupun program itu dilarang di bawah sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Pyongyang turut memasukkan status negara nuklearnya dalam perlembagaan pada 2023. - AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan