DAMSYIK: Syria sedang berusaha mencapai perjanjian keselamatan dengan Israel, sebagai langkah ke arah keamanan menyeluruh antara kedua-dua negara, kata Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa.
Dalam temubual bersama Al Jazeera, Sharaa berkata perjanjian itu tidak akan menjejaskan tuntutan Syria terhadap Bukit Golan, wilayah yang dirampas Israel daripada Syria dalam Perang Enam Hari pada 1967 sebelum diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Israel pada 1981.
Sharaa berkata, Syria turut berusaha mendapatkan sokongan lebih banyak negara bagi memberi tekanan kepada Israel supaya mengamalkan dasar yang lebih seimbang terhadap Damsyik.
"Kami mengelakkan sebarang konfrontasi," katanya.
Kenyataan Sharaa itu dibuat ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengadakan lawatan ke Syria, iaitu lawatan pertama ketua PBB ke negara itu sejak 2009.
Menerusi kenyataan di platform X, Guterres menggesa supaya kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan keutuhan wilayah Syria dihormati.
"Israel tidak boleh terus melanggar Perjanjian Pengunduran Tentera 1974. Pelanggaran itu mesti dihentikan," katanya.

Tahun lalu, Sharaa menjadi presiden Syria pertama sejak 1967, menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York sebagai sebahagian usaha memulihkan imej negaranya.
Kerajaan pimpinannya kini berusaha memulihkan hubungan antarabangsa dan membangunkan semula ekonomi negara selepas hampir 14 tahun perang serta berdekad-dekad berdepan pengasingan di bawah pemerintahan keluarga Assad.
Selepas bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, digulingkan oleh kumpulan pemberontak pimpinan Sharaa pada Disember 2024, tentera Israel memasuki Syria dan menguasai beberapa kawasan strategik.
Tentera Israel turut memasuki zon bebas tentera di Syria, termasuk bahagian Syria di Gunung Hermon yang menghadap ibu negara, Damsyik.
Sejak itu, tentera Israel beberapa kali melancarkan serangan ke atas Syria dan menahan beberapa individu di negara itu.
Israel juga campur tangan dalam operasi yang didakwanya bertujuan melindungi masyarakat minoriti Druze di barat daya Syria.
Pada Ahad, agensi berita rasmi Syria, SANA, melaporkan tentera Israel membedil beberapa kawasan di Syria dan memusnahkan sebuah transformer elektrik di kampung Maariyah, menyebabkan bekalan elektrik ke rumah penduduk terputus.
Pada masa sama, Sharaa turut menegaskan kerajaannya tidak bercadang melancarkan sebarang campur tangan ketenteraan di Lubnan.
Kumpulan pejuang Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah, sebelum ini berperang di pihak berbeza dengan pasukan pimpinan Sharaa ketika perang saudara Syria.
Awal tahun ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau berbincang dengan Sharaa mengenai usaha mengekang Hizbullah selepas mengkritik Israel kerana menyebabkan terlalu ramai kematian orang awam di Lubnan. - REUTERS
























