TEHRAN: Istana Kota Alamut serta Kubu Pertahanan berkaitannya di Iran telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menjadi tapak warisan budaya ketara ke-30 di negara itu yang menerima pengiktirafan antarabangsa berkenaan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Keputusan itu dibuat pada Sesi ke-48 Jawatankuasa Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-baqngsa Bersatu (UNESCO) yang sedang berlangsung di Busan, Korea Selatan.
Hartanah bersiri yang baharu diiktiraf itu merangkumi tujuh istana dan kubu bersejarah iaitu Alamut, Lambsar, Nowizar Shah, Shams-Kalaye, Qastin-Lar, Shirkuh dan Ilan. Rangkaian pertahanan berkenaan terletak di sepanjang Lembah Alamut timur dan barat serta cerun selatan banjaran gunung Alborz.
Alamūt Castle and Related Fortifications,The 30th Iranian historical heritage site registered on the @UNESCO #WorldHeritage List.@MCTH_ir pic.twitter.com/45i09R2q9U— IRAN in CHINA (@IraninChina) July 26, 2026
Struktur binaan itu dibangunkan antara abad ke-11 hingga ke-13 berdasarkan pemahaman terperinci mengenai geografi rantau berkenaan, pengurusan sumber air, laluan komunikasi, seni bina pertahanan serta penyusunan ruang.
Selain fungsi politik dan ketenteraannya, kompleks bersejarah itu turut berfungsi sebagai pusat ilmu pada zamannya dan dikaitkan dengan tokoh cendekiawan terkemuka, termasuk Khajeh Nasir al-Din al-Tusi.




















