DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh manakala 30 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas penumpang di kawasan gurun tengah-timur Syria semalam, menurut media rasmi negara itu.
Agensi berita SANA yang memetik seorang pegawai Kementerian Kesihatan melaporkan, kemalangan itu berlaku di Jalan Damsyik-Deir Ezzor.
Kementerian Dalam Negeri Syria berkata nahas berkenaan membabitkan sebuah bas yang membawa sejumlah anggota pasukan keselamatan dalam negeri dan sebuah lagi bas awam, namun tidak memperincikan jumlah anggota keselamatan yang terbabit dalam insiden itu.
Rakaman yang disiarkan media rasmi menunjukkan sebuah bas terbakar dengan serpihan kenderaan berselerakan di lebuh raya berkenaan.
Helikopter tentera turut dikerahkan bagi membawa mangsa yang cedera keluar dari lokasi kejadian.
Menteri Pengurusan Kecemasan dan Bencana, Raed Al Saleh menyifatkan kemalangan itu sebagai antara nahas jalan raya paling maut di Syria dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdasarkan jumlah korban.
Beliau berkata tragedi itu menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Syria untuk memastikan insiden seumpamanya tidak berulang.
"Tragedi ini turut menyerlahkan keperluan mendesak untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi infrastruktur jalan raya negara yang sekian lama terabai dan rosak akibat konflik serta kemerosotan perkhidmatan awam," katanya seperti dipetik SANA.
Awal bulan ini, lima orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dengan kebanyakan mangsaa rakyat Lubnan, apabila sebuah bas yang membawa jemaah pulang dari Arab Saudi terbalik di lebuh raya di wilayah Daraa, selatan Syria.
Selepas bertahun-tahun dilanda perang saudara, infrastruktur Syria kini berada dalam keadaan uzur dengan banyak jalan raya memerlukan kerja pembaikan segera.
Dalam pada itu, Pengarah Pengangkutan Jalan Damsyik, Moaz Najjar, berkata pihak berkuasa mengarahkan penyelenggaraan jalan raya di wilayah timur diberi keutamaan.
Beliau berkata kebanyakan jalan raya di negara itu berada dalam keadaan rosak dan tidak diselenggara sejak 15 tahun lalu.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak di timur laut Syria.
Bagaimanapun, kemalangan pada Sabtu itu disifatkan sebagai antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2020, sekurang-kurangnya 32 orang maut apabila sebuah lori tangki bahan api merempuh dua bas di jalan raya yang menghubungkan Damsyik dengan wilayah Homs.
























