BH Online
Ringkasan Berita

Korea Selatan wajibkan pengesan kamera tersembunyi di tandas awam

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mewajibkan pemasangan sistem pengesan kamera tersembunyi di tandas awam menerusi pindaan Akta Tandas Awam yang diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan negara itu.
Korea Selatan wajibkan pengesan kamera tersembunyi di tandas awam

Korea Selatan mewajibkan pemasangan sistem pengesan kamera tersembunyi di tandas awam bertujuan untuk mewujudkan ruang awam yang lebih selamat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat. - Foto AGENSI

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan mewajibkan pemasangan sistem pengesan kamera tersembunyi di tandas awam menerusi pindaan Akta Tandas Awam yang diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan negara itu.

Pindaan berkenaan menetapkan kerajaan tempatan perlu memasang pelbagai kemudahan keselamatan di tandas awam, termasuk loceng kecemasan dan sistem pengesan kamera tersembunyi bagi membanteras kegiatan rakaman secara haram.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga diwajibkan menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan semua peralatan keselamatan berkenaan berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, undang-undang hanya mewajibkan datuk bandar, ketua daerah dan ketua kawasan memasang kemudahan keselamatan seperti loceng kecemasan bagi mencegah jenayah serta kemalangan di tandas awam.

Bagaimanapun, pindaan yang diluluskan dalam sidang pleno Perhimpunan Kebangsaan pada Khamis itu secara khusus memasukkan sistem pengesan kamera tersembunyi sebagai antara kemudahan keselamatan yang wajib disediakan.

Langkah itu diambil susulan kegiatan pemasangan kamera tersembunyi untuk merakam pengguna tandas awam secara sulit yang masih dilaporkan berlaku di negara berkenaan.

Berdasarkan data polis yang dikemukakan kepada seorang ahli Parlimen pada 2025, sebanyak 1,457 kes rakaman haram di tandas awam dikesan antara 2021 hingga 2023.

Sebelum ini, pihak berkuasa sememangnya menjalankan pemeriksaan berkala di tandas awam menggunakan peralatan pengesan kamera tersembunyi, namun peralatan itu tidak disenaraikan secara rasmi sebagai kemudahan keselamatan yang diwajibkan di bawah undang-undang.

Video Terkini

Berita Berkaitan