BH Online
Ringkasan Berita

China didakwa guna meriam air terhadap kapal Filipina

MANILA: Filipina menuduh Pengawal Pantai China menggunakan meriam air terhadap sebuah kapal kerajaan negara itu berhampiran kawasan terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, hari ini.
China didakwa guna meriam air terhadap kapal Filipina

Filipina berkata pengawal pantai China menyerang menggunakan meriam air terhadap sebuah kapal kerajaan Filipina berhampiran terumbu karang Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP

MANILA: Filipina menuduh Pengawal Pantai China menggunakan meriam air terhadap sebuah kapal kerajaan negara itu berhampiran kawasan terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, hari ini.

Konfrontasi itu menjadikan ia insiden ketiga membabitkan kedua-dua pihak sepanjang minggu ini.

Insiden di Beting Scarborough itu berlaku ketika kapal Filipina menjalankan misi menghantar bekalan kepada nelayan tempatan, serentak dengan berakhirnya Forum Serantau ASEAN yang menghimpunkan menteri-menteri luar di Manila.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Beting Scarborough, walaupun Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa sebelum ini memutuskan tuntutan berkenaan tidak mempunyai asas undang-undang.

Pengawal Pantai Filipina dalam kenyataan hari ini mendakwa sebuah kapal Pengawal Pantai China melakukan gerakan berbahaya dengan menghampiri kira-kira tujuh meter dari kapal BRP Datu Paduhinog sebelum melepaskan semburan meriam air.

Menurut kenyataan itu, semburan berkenaan menyebabkan kapal terbabit mengalami gangguan sementara terhadap sistem komunikasi satelitnya.

Dua lagi kapal Filipina, BRP Datu Cabaylo dan BRP Cape San Agustin, turut menjadi sasaran semburan meriam air, namun tidak terkena.

Sementara itu, Pengawal Pantai China mendakwa pihaknya mengambil langkah kawalan yang sah terhadap beberapa kapal Filipina yang didakwa menjalankan aktiviti haram di perairan yang menurut Beijing berada di bawah bidang kuasa China berhampiran Pulau Huangyan, nama yang digunakan China bagi merujuk kepada Beting Scarborough.

Pada awal minggu ini, kedua-dua negara turut bertembung di Beting Second Thomas apabila Filipina mendakwa seorang anggotanya dipukul di kepala menggunakan kayu belantan oleh anggota China sehingga memerlukan pemindahan perubatan.

China bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendakwa insiden berkenaan berpunca daripada tindakan anggota Filipina sendiri.

Kejadian itu mencetuskan kecaman daripada beberapa negara sekutu Manila.

Semalam, Filipina sekali lagi menuduh Pengawal Pantai China menggunakan meriam air dan melakukan gerakan berbahaya berhampiran Beting Scarborough.

Walaupun ketegangan terus memuncak, China dan Filipina minggu ini menyatakan komitmen untuk memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan menjelang akhir tahun ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan