BH Online
Ringkasan Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin umum jadual pilihan raya perundangan 28 November

RAMALLAH/ISTANBUL: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin semalam mengumumkan jadual rasmi bagi pilihan raya perundangan yang dijadualkan berlangsung pada 28 November depan, selaras dekri Presiden dan undang-undang pilihan raya umum, lapor Anadolu Ajansi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin umum jadual pilihan raya perundangan 28 November

(Gambar fail) Perkampungan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki. - FOTO AFP

RAMALLAH/ISTANBUL: Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin semalam mengumumkan jadual rasmi bagi pilihan raya perundangan yang dijadualkan berlangsung pada 28 November depan, selaras dekri Presiden dan undang-undang pilihan raya umum, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, pusat pendaftaran pengundi di Tebing Barat akan dibuka selama lima hari dari 15 hingga petang 19 Ogos depan.

Katanya, penamaan calon pula akan bermula 26 September depan dan berlangsung selama 12 hari hingga petang 7 Oktober.

Suruhanjaya itu memaklumkan kempen pilihan raya akan berlangsung selama 21 hari mulai 6 November depan sebelum tempoh bertenang pilihan raya pada 27 November.

Pengundian awal bagi pasukan keselamatan akan diadakan pada 26 November depan, manakala pengundian umum pula 28 November.

Menurut suruhanjaya itu lagi, keputusan awal akan diumumkan dalam tempoh 24 jam, manakala keputusan muktamad akan diterbitkan dalam tempoh dua minggu selepas hari pengundian, setelah semua rayuan undang-undang selesai diputuskan.

Pada 9 Julai lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengeluarkan dekri menetapkan 28 November depan sebagai tarikh pilihan raya perundangan di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Jun lalu, Abbas mengeluarkan dekri undang-undang yang meminda undang-undang pilihan raya umum dengan meningkatkan jumlah anggota Majlis Perundangan daripada 132 kepada 200 orang.

Selain itu, menurunkan umur kelayakan calon daripada 28 kepada 23 tahun, mengurangkan ambang pilihan raya daripada 2.0 peratus kepada 1.0 peratus, serta mewajibkan sekurang-kurang seorang wanita dalam setiap tiga calon dalam senarai pilihan raya.

Majlis Perundangan Palestin tidak lagi berfungsi sejak 2007 susulan perpecahan politik Palestin.

Abbas membubarkannya pada 2018, manakala pilihan raya perundangan kali terakhir diadakan pada 2006.

Wilayah Palestin kekal berpecah dari segi politik dan geografi sejak 2007, dengan Hamas mentadbir Semenanjung Gaza, manakala kerajaan dibentuk Fatah menguruskan pentadbiran di Tebing Barat.

Berdasarkan dekri Presiden itu, pilihan raya presiden pula dijadualkan berlangsung pada suku pertama 2027.

Video Terkini

Berita Berkaitan