TEHRAN: Tentera Iran hari ini mendedahkan bahawa pihaknya melancarkan serangan dron ke atas beberapa pangkalan serta kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, Jordan dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terbaru AS pada republik Islam ini.
"Pagi ini, tangki bahan api, gudang peralatan besar, dan silo serta berek pasukan tentera AS di Pangkalan Udara Isa, Bahrain, telah disasarkan oleh dron kamikaze Arash," menurut tentera Iran dalam satu kenyataan disiarkan televisyen negara sebagaimana dilaporkan AFP.
Dalam satu kenyataan berasingan, tentera Iran berkata, pasukannya telah melancarkan serangan dron ke atas gudang peralatan AS di Kem Udairi dan tapak personel tentera AS di Kem Doha serta Kem Arifjan, Kuwait.
Tentera Iran turut mendakwa bahawa pihaknya melancarkan serangan dron ke atas Jordan dengan menyasarkan hangar pesawat, hangar penyelenggaraan penerbangan serta sebuah berek di pangkalan Al-Azraq.
Bagaimanapun, Jordan tidak melaporkan sebarang serangan dalam tempoh beberapa jam terkini hingga setakat berita ini ditulis.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pula berkata, pihaknya telah menyasarkan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.
IRGC mendakwa bahawa serangan itu berjaya memusnahkan sebuah depoh amunisi, selain mengakibatkan kematian dalam kalangan personel AS.
Tehran menegaskan mana-mana pangkalan atau kemudahan di Asia Barat yang digunakan oleh tentera AS untuk melancarkan serangan ke atas Iran, dianggap sebagai sasaran sah bagi tindak balas.
Selain itu, beberapa bunyi letupan turut dilaporkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil yang menempatkan tentera pakatan diketuai Washington di sebuah kompleks konsulat utama AS di wilayah Kurdistan, Iraq.
Bunyi letupan kedengaran selepas pertahanan udara diaktifkan, menurut wartawan AFP yang turut menyaksikan sejumlah dron terbang di ruang udara dan kepulan asap menjulang di kawasan lapangan terbang.
Dalam pada itu, AFP memetik media negara ini melaporkan pihak berkuasa Iran berkata, AS menyerang sebuah pangkalan IRGC di wilayah Gilan.
"Pagi ini, sebuah ibu pejabat tentera laut IRGC di Zibakenar telah disasarkan oleh projektil AS yang merosakkan beberapa peralatan di dalam kompleks itu," kata Timbalan Gabenor wilayah berkenaan, Ali Bagheri, sebagaimana dipetik oleh agensi berita rasmi IRNA.
Sementara itu Menteri Luar, Abbas Araghchi, menegaskan Iran akan mempertanggungjawabkan mana-mana negara yang membantu AS menyerang republik Islam ini.
"Sebarang penyertaan, kerjasama ataupun bantuan dalam melakukan serangan ke atas Iran akan mewujudkan tanggungjawab antarabangsa bagi pihak-pihak yang berkaitan.
"Iran berhak untuk mengambil segala langkah yang perlu dalam kerangka kerja mempertahankan diri," kata Araghchi pada satu mesyuarat di Kyrgyzstan.
BERNAMA-ANADOLU pula melaporkan Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) semalam berkata, AS melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan Iran untuk malam ke-13 berturut-turut.
CENTCOM memaklumkan serangan terbaru itu bermula jam 6.45 petang waktu Timur AS (2245 GMT).
"Ini adalah serangan malam ke-13 berturut-turut bertujuan memastikan Iran dipertanggungjawabkan dan mengurangkan ancaman IRGC terhadap kapal dagang," katanya melalui platform X. - AGENSI
























