BH Online
Ringkasan Berita

Ribuan penduduk Israel ceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa, jemaah Palestin dihalang masuk tunai solat

ISTANBUL: Lebih 2,500 penduduk Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, pagi semalam, sempena perayaan Yahudi, Tisha B’Av bagi memperingati apa yang mereka dakwa sebagai ‘kemusnahan kuil’, lapor Anadolu Ajansi.
Ribuan penduduk Israel ceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa, jemaah Palestin dihalang masuk tunai solat

Ben-Gvir ketika memasuki kompleks Masjid Al-Aqsa, semalam. - FOTO AFP

ISTANBUL: Lebih 2,500 penduduk Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, pagi semalam, sempena perayaan Yahudi, Tisha B'Av bagi memperingati apa yang mereka dakwa sebagai 'kemusnahan kuil', lapor Anadolu Ajansi.

Seorang pegawai Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis yang enggan dikenali memberitahu Anadolu bahawa pencerobohan itu 'berterusan dalam jumlah yang sangat besar.'

Malah, katanya, ia disertai dengan tindakan 'pelanggaran secara meluas', termasuk mengadakan upacara ritual Talmud secara berkumpulan dan berdoa dengan suara lantang.

Video yang disebarkan aktivis sayap kanan Israel menunjukkan penduduk Israel mengadakan upacara ritual agama secara berkumpulan berhadapan Kubah Sakhrah.

Satu lagi rakaman pula menunjukkan bendera Israel dikibarkan di dalam kompleks itu ketika peserta menyanyikan lagu kebangsaan Israel di hadapan polis rejim Zionis berkenaan, sebagaimana dilaporkan BERNAMA-ANADOLU.

Terdahulu, Pejabat Gabenor Baitulmaqdis melalui hantaran dalam Facebook memaklumkan bahawa polis Israel membenarkan jumlah penduduk Israel yang memasuki kompleks itu ditingkatkan kepada kira-kira 150 orang setiap kumpulan.

Menurut kenyataan itu, tentera Israel juga mengenakan sekatan ketat di pintu masuk masjid dan sekitar Kota Lama Baitulmaqdis, selain mengerahkan sejumlah besar anggota di kawasan halaman serta menghalang jemaah Palestin daripada memasuki kompleks berkenaan.

Katanya, hanya sebilangan kecil rakyat Palestin berjaya memasuki masjid itu untuk menunaikan solat subuh sebelum tentera Israel menyerang beberapa jemaah dan penduduk lain.

Menurut Pejabat Gabenor itu, penduduk Israel 'melakukan ritual Talmud ketika pencerobohan, termasuk memakai tefillin, melakukan sujud penuh (tiarap) di bahagian timur kompleks berkenaan, serta melaungkan bacaan dengan kuat.'

Katanya lagi, 'kumpulan pelampau yang menyokong pembinaan kuil Yahudi di tapak berkenaan sedang menggerakkan penyokong dalam usaha membawa masuk 5,000 penduduk Israel ke kompleks itu' melalui pencerobohan, semalam.

Pejabat Gabenor Baitulmaqdis sekali gus mengecam tindakan Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, menyerbu kompleks itu sebagai 'peningkatan ketegangan yang berbahaya' serta 'pelanggaran terang-terangan' terhadap status quo sejarah dan undang-undangnya.

Menurutnya, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada 'usaha sistematik menyasarkan tempat suci Islam' dan percubaan untuk memaksakan realiti baharu di masjid itu.

Pejabat Gabenor itu menekankan bahawa penyertaan Ben-Gvir bersama pencerobohan oleh penduduk Israel serta kumpulan yang menyokong pembinaan 'kuil Yahudi' di tapak berkenaan menandakan 'perubahan berbahaya' daripada serangan oleh kumpulan pelampau kepada penerimaan rasmi tindakan sedemikian oleh Kerajaan Israel.

Pejabat Gabenor itu memberi amaran bahawa pelanggaran berkenaan boleh membawa kesan terhadap keselamatan dan kestabilan serantau, justeru menggesa masyarakat antarabangsa serta institusi antarabangsa bertindak untuk menghentikannya.

Ia menegaskan keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa seluas 144 dunam (14.4 hektar) adalah 'tempat ibadat eksklusif bagi umat Islam', sambil menekankan sebarang langkah yang bertujuan mengubah identiti atau status sejarah dan undang-undangnya adalah 'tidak sah serta tidak mempunyai keabsahan.'

Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci Islam.

Sementara itu, BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI pula melaporkan Menteri Luar di lapan negara mengecam tindakan pihak Israel berkenaan, dengan memetik kenyataan bersama mereka.

Kementerian Luar Turkiye mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ben-Gvir memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa itu.

"Menteri-menteri Luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi Israel di Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif.

"Ini termasuk pencerobohan beramai-ramai secara berterusan oleh pendatang haram yang diketuai menteri pelampau Israel ke Masjid Al-Aqsa atau Al-Haram Al-Sharif dengan perlindungan tentera, pengibaran bendera Israel di pekarangannya, pemasangan dua khemah oleh polis Israel, serta semua tindakan lain yang mencetuskan ketegangan," menurut kenyataan itu, semalam.

Menurutnya lagi, tindakan itu adalah pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta status quo sejarah dan perundangan tapak suci di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

"Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis yang diduduki atau tapak suci Islam dan Kristian di bandar itu," menurut kenyataan berkenaan.

Menteri-menteri Luar berkenaan turut menggesa Israel segera menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmaqdis dan tidak menghalang umat Islam daripada memasuki masjid berkenaan untuk menunaikan ibadah.

Video Terkini

Berita Berkaitan