BH Online
Ringkasan Berita

Mesir gesa AS segerakan penempatan ISF di Gaza

ISTANBUL: Mesir semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) mempercepatkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Semenanjung Gaza, memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan sepenuhnya, dan menyelesaikan baki komitmen bawah fasa pertama pelan untuk wilayah itu oleh Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi.
Mesir gesa AS segerakan penempatan ISF di Gaza

Seorang lelaki Palestin duduk berdekatan barangan milik keluarganya selepas rumah mereka dirobohkan oleh pasukan keselamatan Israel di perkampungan Nahalin di Tebing Barat yang diduduki, kelmarin. - FOTO AFP

ISTANBUL: Mesir semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) mempercepatkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Semenanjung Gaza, memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan sepenuhnya, dan menyelesaikan baki komitmen bawah fasa pertama pelan untuk wilayah itu oleh Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi.

Gesaan itu dibuat dalam pertemuan antara Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, Filipina, menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir.

Abdelatty menegaskan keperluan untuk segera melancarkan jawatankuasa Palestin yang ditugaskan mentadbir Gaza, selain menghentikan pencabulan Israel di Tebing Barat yang diduduki, bagi meredakan ketegangan serta memulihkan kestabilan serantau.

Berhubung Iran pula, Abdelatty dan Rubio bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan usaha meredakan ketegangan, sambil mengesahkan semula kepentingan mematuhi memorandum persefahaman yang ditandatangani Washington dan Tehran pada bulan lalu, menurut kenyataan itu.

Kedua-dua diplomat itu turut membincangkan usaha menyambung semula rundingan AS-Iran dan mencapai persetujuan muktamad.

Selain itu, mereka membincangkan perkembangan di Afrika dengan Abdelatty menekankan kepentingan menghormati kedaulatan serta keutuhan wilayah negara serantau, sekali gus menolak sebarang langkah yang boleh menjejaskan kestabilan rantau itu.

Kedua-dua pihak turut meneliti isu keselamatan air, dengan Mesir mengulangi gesaan supaya undang-undang antarabangsa berkaitan sumber air rentas sempadan dipatuhi serta menolak sebarang tindakan unilateral.

Pada masa sama, mereka turut menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan perkongsian strategik antara Kaherah dengan Washington.

Video Terkini

Berita Berkaitan