BH Online
Ringkasan Berita

1.4 juta penduduk Gaza dijangka hadapi ketidakjaminan makanan akut tahap tinggi - IPC

GENEVA: Anggaran 1.4 juta penduduk Gaza dijangka berdepan ‘ketidakjaminan makanan akut pada tahap tinggi’ hingga Disember depan, meningkat daripada 1.2 juta dalam tempoh pertengahan April hingga Jun lalu, meskipun terdapat penambahbaikan hasil bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
1.4 juta penduduk Gaza dijangka hadapi ketidakjaminan makanan akut tahap tinggi - IPC

(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO REUTERS

GENEVA: Anggaran 1.4 juta penduduk Gaza dijangka berdepan 'ketidakjaminan makanan akut pada tahap tinggi' hingga Disember depan, meningkat daripada 1.2 juta dalam tempoh pertengahan April hingga Jun lalu, meskipun terdapat penambahbaikan hasil bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik analisis terbaru Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), laporan itu menyatakan jumlah penduduk berdepan situasi krisis (Fasa 3) atau lebih buruk dijangka meningkat kepada 67 peratus daripada populasi Gaza.

Selain itu, seramai 212,000 penduduk pula dijangka kekal dalam situasi kecemasan (Fasa 4), manakala kesemua lima wilayah diklasifikasikan berada dalam fasa krisis.

Analisis IPC yang dikeluarkan, semalam, menyatakan peningkatan bantuan kemanusiaan susulan gencatan senjata sejak Oktober 2025 telah membantu memperbaiki keselamatan makanan dan pemakanan, dengan bantuan makanan disalurkan kepada kira-kira 1.49 juta orang pada Mei lalu.

Bagaimanapun, IPC memberi amaran bahawa bekalan makanan masih tidak mencukupi, sumber mata pencarian terjejas teruk dan 83 peratus isi rumah melaporkan tiada sumber pendapatan, menyebabkan kebanyakan keluarga bergantung pada bantuan luar.

IPC turut memberi amaran bahawa kemajuan yang dicapai, baru-baru ini, kekal 'sangat rapuh' berikutan bantuan kemanusiaan berkurangan sejak Februari lalu akibat kekangan pendanaan dan ketidakpastian mengenai operasi pertubuhan bantuan antarabangsa.

IPC menekankan bahawa tanpa bantuan makanan kemanusiaan, dianggarkan seramai 1.9 juta orang atau kira-kira 90 peratus daripada penduduk Gaza akan berdepan tahap tinggi ketidakjaminan makanan akut hingga Disember 2026.

Analisis itu turut mengunjurkan 74,200 kanak-kanak berusia bawah lima tahun memerlukan rawatan akibat malnutrisi akut menjelang April 2027, termasuk 11,432 kes teruk.

Seramai 24,600 wanita hamil dan menyusukan anak pula memerlukan sokongan pemakanan segera.

Justeru, IPC menggesa akses kemanusiaan yang berterusan, peluasan program pemakanan, dan penghentian pertempuran secara kekal bagi mengelakkan kemajuan yang dicapai baru-baru ini terjejas.

Video Terkini

Berita Berkaitan