ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam menegaskan perjanjian kerjasama nuklear dengan Arab Saudi adalah tertakluk kepada syarat Riyadh menyertai Perjanjian Abraham, lapor Anadolu Ajansi.
"Perjanjian Nuklear Awam (tiada pengayaan bahan akan dilakukan!) yang sedang dimeterai antara Jabatan Tenaga AS dengan Arab Saudi, yang hanya membabitkan kegunaan bukan ketenteraan, sebagaimana telah dimiliki Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta negara lain, akan diluluskan," tulis Trump melalui platform Truth Social.
Sambil menyatakan AS 'tidak membantah kemudahan nuklear awam (tanpa pengayaan)', Trump bagaimanapun memaklumkan perjanjian itu tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham yang disifatkannya sebagai sangat dihormati dan berjaya.
Perjanjian Abraham adalah perjanjian normalisasi hubungan yang ditandatangani antara Israel dengan beberapa negara majoriti Islam ketika penggal pertama Trump memegang jawatan sebagai Presiden AS.
Setakat ini, empat negara telah menyertai perjanjian berkenaan, iaitu Bahrain, Maghribi, Sudan dan UAE.
Terdahulu semalam, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata perjanjian itu memerlukan kelulusan Kongres dan akan merangkumi langkah perlindungan.
"Sebarang perjanjian yang kami bakal meterai dengan mana-mana negara di dunia mengenai tenaga nuklear awam, akan mempunyai langkah perlindungan bagi memastikan ia tidak boleh diubah menjadi program senjata," kata Rubio kepada pemberita di Filipina.
Pada Rabu lalu, Jabatan Tenaga AS memaklumkan bahawa AS dan Arab Saudi telah menandatangani perjanjian kerjasama nuklear itu.
Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, dan Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, menandatangani perjanjian kerjasama nuklear bagi tujuan aman - yang lazimnya dikenali sebagai Perjanjian 123 - bersama perjanjian perlindungan dua hala, menurut jabatan itu dalam kenyataan.
























