NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 41 orang terkorban dalam kejadian banjir susulan hujan monsun lebat yang melanda negeri di timur laut India, menurut pihak berkuasa hari ini.
Berikutan itu, operasi menyelamat dan bantuan di Assam terus dipergiatkan.
Bencana berkaitan banjir berlaku setiap tahun di seluruh India ketika monsun susulan musim panas yang panjang, dengan banyak kawasan di negara itu turut berdepan kekurangan bekalan air dan kemarau.
"Kita kehilangan 41 nyawa yang amat berharga setakat ini, manakala ribuan ternakan turut dihanyutkan arus," kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, menerusi kemas kini di media sosial mengenai jumlah korban akibat hujan monsun yang bermula sejak Jun lalu.
Beliau berkata, kejadian hujan lebat luar biasa di kawasan hulu sungai, ditambah hujan lebat setempat yang mencatat jumlah 436 peratus melebihi paras normal, menyebabkan banjir melanda kampung yang tidak pernah mengalami kemusnahan seumpama itu sejak kebelakangan ini.
Sarma berkata, semua agensi termasuk Tentera Udara India, Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) dan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) bekerja sepanjang masa bagi melaksanakan operasi menyelamat serta penyaluran bantuan di Assam.
Pihak berkuasa turut membuka hampir 150 pusat pemindahan sementara yang kini menempatkan hampir 30,000 mangsa banjir di negeri itu, katanya.
Beliau berkata, kira-kira 900,000 penduduk di lebih 1,800 kampung terjejas akibat banjir berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan kerajaan negerisemalam, pihak berkuasa memaklumkan dron pengangkut muatan digunakan bagi memperkukuh penghantaran bekalan bantuan ke kawasan yang sukar diakses.
Lebih 50 bot kecil turut digerakkan di kawasan air cetek yang tidak dapat dimasuki bot milik pasukan bencana negeri dan kebangsaan. – AFP
























