NEW DELHI: Pihak berkuasa membebaskan wartawan dan aktivis hak asasi manusia dengan jaminan, beberapa tahun selepas penahanan mereka di wilayah Kashmir atas pertuduhan keganasan.
Penyelaras program bagi Jammu Kashmir Coalition of Civil Society (JKCCS), Khurram Parvez ditahan pada 2021 oleh Agensi Siasatan Kebangsaan India di kediamannya di bandar Srinagar.
Wartawan bebas, Irfan Mehraj yang turut berkhidmat dengan JKCCS ditahan pada 2023.
Kedua mereka dituduh membiayai keganasan dan menyebarkan agenda pemisahan di bawah undang-undang antikeganasan ketat India, yang secara praktikal membenarkan pihak berkuasa menahan individu tanpa perbicaraan untuk tempoh tanpa had.
Keluarga mengesahkan Parvez dan Mehraj dibebaskan dari sebuah penjara di New Delhi, malam tadi.
Meskipun permohonan jaminan itu dirayu oleh Agensi Siasatan Kebangsaan, mahkamah tinggi mengekalkan keputusan pembebasan berkenaan.
Bagaimanapun, syarat jaminan yang dikenakan sangat ketat dan mengehadkan kebebasan mereka secara signifikan.
JKCCS selama berdekad mendedahkan dakwaan pencerobohan hak asasi oleh pasukan kerajaan India, termasuk kes penyeksaan dan pembunuhan tidak sah.
Kumpulan itu turut lantang menyuarakan isu ribuan kubur tanpa nama di kawasan sempadan yang disyaki mengandungi mayat mangsa di wilayah bergolak berkenaan.
Pada 2023, Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penahanan Tanpa Asas menyatakan bahawa penahanan Parvez adalah tindakan balas dendam terhadap kerja hak asasi manusianya dan masyarakat sivil Kashmir secara keseluruhannya. - AFP
























