AMOL (IRAN): Jurucakap tentera Iran menegaskan angkatan bersenjata negara ini mampu menggagalkan campur tangan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, serta mempunyai strategi yang jelas untuk mengawal Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
"Sudah pasti penentangan terhadap musuh akan diteruskan, dan Iran akan menggagalkan campur tangan AS di rantau ini," kata Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia ketika berucap pada majlis memperingati kesyahidan pemimpin Iran di Amol, utara Iran, hari ini.
Beliau berkata, AS menyangka dengan menyerang beberapa pangkalan di pesisir selatan Iran, negara itu akan mampu menguasai laluan strategik berkenaan.
"Pada masa sama, Iran mempunyai keupayaan untuk mengawal Selat Hormuz dari mana-mana bahagian wilayah negara ini," katanya.
Merujuk kepada kesan kehadiran AS di rantau itu, Akraminia berkata, negara yang menyediakan pangkalan untuk AS pula kini terpaksa menanggung kos tinggi dari segi perdagangan dan keselamatan.
"Keselamatan yang diimport bukanlah keselamatan yang mampan. Keselamatan sebenar hanya dapat dicapai apabila negara-negara di rantau ini, tanpa kehadiran kuasa asing, mampu menjamin kestabilan dan keamanan mereka sendiri," katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya musuh terus berkeras meneruskan tindakan sedemikian, Iran masih memiliki keupayaan yang belum digunakan serta mampu mengubah percaturan di rantau itu.
























