TAIWAN: Taufan Bavi - taufan kesembilan tahun ini - membadai timur laut Taiwan pada awal pagi tadi menyebabkan penerbangan di Taipei dan Taichung dibatalkan, selain penggantungan kerja serta kelas di kebanyakan kawasan seluruh pulau ini, lapor Xinhua.
Maklumat terkini menunjukkan angin dan hujan semakin kuat di seluruh Taiwan, dengan pelbagai kerosakan dilaporkan termasuk bekalan elektrik terputus dan tanah runtuh.
Pihak berkuasa cuaca berkata, pusat taufan itu terletak di atas perairan kira-kira 360 kilometer (km) tenggara Taipei, bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 27km sejam.
Hujan lebat dijangka berterusan sepanjang hari, dengan ramalan hujan sangat lebat di kawasan pergunungan utara Taichung dan angin kencang di banyak kawasan.
Orang ramai digesa mengelak mengunjungi kawasan pantai berikutan ombak tinggi.
Hujan turut dijangka berterusan hingga malam di kawasan pergunungan di tengah dan selatan Taiwan, menurut pegawai meteorologi sambil memaklumkan hujan di seluruh pulau ini bagaimanapun diramalkan beransur reda, esok.
























