BAGHDAD: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Tehran menguasai sepenuhnya laluan perkapalan di Selat Hormuz bagi tempoh 30 hari akan datang.
Ia susulan perjanjian gencatan senjata yang rapuh dengan Amerika Syarikat (AS), dilihat seakan-akan runtuh berikutan gelombang serangan terbaru, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Araghchi berkata, selat itu yang merupakan laluan air penting bagi perdagangan global, akan 'sekali lagi diletakkan sepenuhnya bawah pentadbiran Iran dalam tempoh 30 hari akan datang'.
Beliau turut mengulangi bahawa tanggungjawab menguruskan selat itu terletak sepenuhnya di tangan Iran.
"Sebarang campur tangan atau percubaan untuk mewujudkan struktur selari, hanya akan merumitkan lagi keadaan, mencetuskan ketegangan tambahan, dan melambatkan pembukaan semula laluan air yang sangat penting serta strategik itu," katanya pada satu sidang media di ibu negara Iraq, Baghdad.
Pada Februari lalu, apabila Israel dan AS mula menyerang Iran, Tehran bertindak melumpuhkan trafik perkapalan di Selat Hormuz melalui ancaman serta serangan, sekali gus menggunakan selat itu sebagai kelebihan untuk merundingkan penamatan konflik.
Pembukaan semula Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan merupakan sebahagian daripada rangka kerja utama dipersetujui antara AS dengan Iran, baru-baru ini.
Perjanjian itu menetapkan Iran tidak dibenar mengenakan sebarang bayaran bagi laluan kapal sepanjang tempoh rundingan 60 hari.
Iran dijadual mengadakan perbincangan dengan Oman mengenai langkah seterusnya selaras dengan undang-undang antarabangsa dan melalui penyelarasan dengan negara-negara jiran.
Penganalisis berpendapat potensi pengenalan sebarang bayaran boleh menjadi titik pertikaian utama, terutama yang berkaitan pematuhan undang-undang antarabangsa.
























