BH Online
Ringkasan Berita

Thailand tegaskan keyakinan terhadap peranan Malaysia dalam dialog damai selatan Thailand

BANGKOK: Thailand menegaskan semula keyakinannya terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan.
Thailand tegaskan keyakinan terhadap peranan Malaysia dalam dialog damai selatan Thailand

Anggota tentera dan polis memeriksa sebuah jalan di hadapan Balai Polis Lama Khao Tanyong di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, selepas bahan letupan yang dipasang pada sebuah kereta diletupkan. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand menegaskan semula keyakinannya terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan.

Meskipun berlaku serangan maut baru-baru ini di Narathiwat, Kuala Lumpur terus memainkan peranan penting dalam mengadakan libat urus bersama kumpulan bersenjata dan membantu mengurangkan keganasan di selatan negara itu yang bergolak.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand, Chatchai Bangchuad, berkata kerjasama Malaysia amat penting khususnya dalam mengadakan libat urus dengan kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza serta menyelaraskan usaha untuk mengekang keganasan.

"Malaysia telah bekerjasama dengan kami dalam isu sempadan dan kami percaya negara itu mampu mendekati kumpulan ini bagi membantu menyelaraskan usaha untuk mengekang penggunaan keganasan," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Jumaat.

Kenyataan beliau itu dibuat susulan serangan maut baru-baru ini di sebuah pos kawalan keselamatan di daerah Rangae, wilayah Narathiwat yang mengorbankan lima anggota renjer Thailand dan mencederakan enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Chatchai berkata Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan yang diketuai Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan, Thanat Suwannanont, selaku ketua panel dialog Thailand telah mencapai kemajuan ketara.

Beliau berkata kerajaan kekal komited terhadap dialog sambil menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku keganasan, dengan memberi amaran bahawa bergantung semata-mata kepada kekerasan hanya akan memburukkan lagi konflik.

"Kami percaya lebih separuh daripada kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza bersedia untuk terbabit dalam dialog. Mereka yang terus menggunakan keganasan perlu berdepan penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Kedua-dua perkara itu perlu ditangani secara berasingan," katanya.

Malaysia telah sekian lama bertindak sebagai pemudah cara dalam dialog damai antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemberontak yang beroperasi di wilayah sempadan selatan Pattani, Yala, Narathiwat dan beberapa kawasan di Songkhla.

Thailand melantik Thanat sebagai ketua perunding baharu bagi rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) pada Mei, manakala Malaysia melantik Datuk Mohd Rabin Basir sebagai fasilitator pada 1 Julai 2024.

Video Terkini

Berita Berkaitan