MANILA: Penyertaan semula pemimpin Myanmar dalam mesyuarat rasmi ASEAN adalah 'masih jauh' serta dijangka tidak berlaku pada 2026 atau ketika Singapura mempengerusikan blok itu tahun depan.
Setiausaha Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro, berkata masih ada persoalan mengenai pematuhan Kerajaan Myanmar terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) yang kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis di negara itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-59 di Pasay City, semalam, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
"Buat masa ini, saya boleh katakan perkara itu masih jauh. Ketika ini, Konsensus Lima Perkara masih menjadi dokumen asas yang menjadi rujukan kami.
"Dalam perbincangan dengan Menteri Luar Myanmar, banyak persoalan dibangkitkan mengenai pematuhan mereka terhadap Konsensus Lima Perkara.
"Perkara itu mungkin belum berlaku, namun kita akan melihat sejauh mana pematuhan yang dapat mereka tunjukkan," katanya.
Bagaimanapun, Lazaro berkata, ASEAN akan terus bersabar dan menilai sebarang kemajuan yang mampu dicapai Myanmar dalam pelaksanaan 5PC.
"Sekiranya terdapat pematuhan, keadaan akan berubah.
"Isunya bukan sama ada terdapat negara yang tidak mahu Myanmar kembali menduduki kerusinya, tetapi benar-benar bergantung pada pematuhan terhadap 5PC," katanya.
Mengenai bantuan kemanusiaan pula, Lazaro mengesahkan beliau akan mengetuai delegasi ke Myanmar pada suku keempat 2026, termasuk mengunjungi beberapa kawasan yang dikuasai pertubuhan etnik.
"Matlamat utama misi ini ialah mendekati komuniti rentan di Myanmar.
"Sudah tentu, kebenaran akan dimohon daripada kerajaan dan perkara itu akan menunjukkan sejauh mana kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kami," katanya.
Lazaro berkata, misi itu akan diselaraskan dengan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) yang berpangkalan di Jakarta serta beberapa pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.
Ia termasuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Médecins Sans Frontières dan Program Makanan Sedunia.
























