MANILA: ASEAN dan China sedang membuat 'kemajuan yang baik' dalam rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, kata Setiausaha Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro.
Beliau berkata, semua pihak masih berhasrat memuktamadkan kod berkenaan tahun ini, di tengah-tengah perkembangan terkini di Laut China Selatan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
"ASEAN dan China sedang berusaha ke arah penyelesaian, mudah-mudahan COC dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
"Perkara ini dilihat menjadi tumpuan banyak negara, dan saya dapat melihat adanya kemahuan politik daripada semua negara yang terbabit," katanya pada sidang media di Parañaque City, semalam.
Perunding mempergiatkan rundingan menerusi pertemuan bersemuka setiap bulan bagi menyelesaikan empat isu penting dalam draf COC.
Ia termasuk mewujudkan kaitan antara COC dengan Deklarasi Tatalaku ASEAN (DOC) di Laut China Selatan yang tidak mengikat, menentukan sama ada dokumen akhir itu akan mempunyai kuasa undang-undang, menetapkan skop geografi, serta memperincikan definisi beberapa istilah seperti kawalan diri.
"Dari sudut pandangan kami, kemajuan yang dicapai dalam terma rujukan sangat penting.
"Sebagai contoh, berhubung definisi kawalan diri, kini terdapat beberapa konsensus, malah konsensus itu semakin berkembang dan bagi kami, ia merupakan kemajuan yang baik," kata Lazaro.
Menteri-menteri Luar ASEAN, China dan beberapa kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia serta Jepun bertemu di Manila sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-59 dan mesyuarat berkaitan.
























