BH Online
Ringkasan Berita

Tentera Israel dakwa 12 tokoh bola sepak Gaza yang terbunuh adalah anggota pejuang Palestin

BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa 12 individu dalam komuniti bola sepak Palestin yang terbunuh dalam perang di Gaza adalah anggota pejuang Palestin termasuk seorang pengadil yang berdaftar dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tentera Israel dakwa 12 tokoh bola sepak Gaza yang terbunuh adalah anggota pejuang Palestin

Penduduk Palestin menyaksikan perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Mesir menerusi skrin besar di Bandar Gaza. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa 12 individu dalam komuniti bola sepak Palestin yang terbunuh dalam perang di Gaza adalah anggota pejuang Palestin termasuk seorang pengadil yang berdaftar dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Antara yang dinamakan ialah Mohammed Sami Mohammed Khattab, yang menurut tentera Israel adalah pengadil pembantu antarabangsa FIFA.

"Mohammed Sami Mohammed Khattab digambarkan sebagai pemain bola sepak tidak bersalah, tetapi sebenarnya beliau adalah anggota Briged Kem Tengah Jihad Islam," kata tentera Israel.

Tentera Israel berkata, pendedahan nama itu dibuat bagi menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja menyasarkan pemain bola sepak, pengadil dan jurulatih di Gaza.

"Tentera Pertahanan Israel (IDF) kini mendedahkan identiti pemain bola sepak, pengadil dan jurulatih Palestin yang sebelum ini digambarkan sebagai atlet serta orang awam tidak bersalah.

"Namun, sebenarnya berkhidmat sebagai pejuang dalam sayap ketenteraan Hamas dan Jihad Islam," menurut kenyataan tentera itu.

Bagaimanapun, seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Palestin di Gaza menolak dakwaan berkenaan.

Tentera Israel turut mendakwa beberapa daripada mereka memegang jawatan penting dalam kumpulan bersenjata, manakala yang lain terbabit sebagai anggota tempur.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa Khattab bukan sekadar pemain bola sepak, sebaliknya anggota Jihad Islam.

Mereka turut mengeluarkan beberapa gambar Khattab, termasuk gambar beliau memakai jersi bola sepak dengan logo FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), serta gambar beliau memegang senjata.

Tentera Israel berkata, beberapa badan bola sepak termasuk AFC sebelum ini mengeluarkan penghormatan selepas kematian Khattab.

Menurut tentera Israel, sekurang-kurangnya dua daripada 12 individu itu pernah terbabit dalam serangan 7 Oktober 2023 terhadap Israel.

"Sebahagian maklumat ini berdasarkan sumber terbuka. Semua individu yang disenaraikan dikenal pasti oleh IDF sebagai anggota kumpulan pengganas," kata satu sumber yang dipetik dalam kenyataan itu.

Namun, Persatuan Bola Sepak Palestin menolak dakwaan itu dan menuduh Israel cuba mengalihkan perhatian daripada tindakan membunuh pemain, jurulatih, pengadil serta pegawai bola sepak di Gaza.

"Sebahagian besar nama yang disebut terbunuh dalam serangan udara dan operasi ketenteraan Israel di rumah atau khemah mereka, termasuk bersama keluarga," kata seorang pegawai persatuan itu yang tidak mendedahkan identiti atas faktor keselamatan.

AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tentera Israel itu, manakala Hamas dan Jihad Islam masih belum memberikan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Sepanjang perang di Gaza, pihak berkuasa bola sepak Palestin berulang kali mendakwa serangan Israel menyebabkan kematian pemain bola sepak serta kerosakan terhadap kemudahan sukan.

Israel pula menegaskan operasi ketenteraannya menyasarkan anggota pejuang Palestin dan kemudahan ketenteraan, sambil mendakwa Hamas serta kumpulan bersenjata lain menggunakan kawasan awam untuk kegiatan mereka. – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan