PHNOM PENH: Kemboja mengusir lebih 16,000 warga asing disyaki terbabit penipuan dalam talian, pada separuh pertama 2026 ketika tindakan membanteras jenayah siber terus dipergiatkan, lapor Xinhua.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Kemboja, Leftenan Jeneral Polis Sok Veasna, berkata operasi penguatkuasaan terhadap penipuan dalam talian telah dipertingkatkan dengan ketara sejak Januari lalu.
"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kami telah mengusir lebih 45,000 warga asing, termasuk lebih 16,000 suspek penipuan dalam talian," katanya, kelmarin.
Veasna berkata, semua individu diusir itu dilarang memasuki semula Kemboja buat selama-lamanya.
Timbalan Pengarah Pusat Pengajian China-ASEAN di Cambodia University of Technology and Science, Thong Mengdavid, berkata pengusiran besar-besaran warga asing yang disyaki terbabit penipuan siber adalah langkah dialu-alukan dan telah lama dinanti bagi memulihkan reputasi Kemboja serta mengganggu operasi rangkaian penipuan siber berskala besar.
Bagaimanapun, katanya, ia hanyalah penyelesaian sementara.
Beliau menegaskan bagi benar-benar memenangi usaha memerangi jenayah itu, Kemboja perlu menyasarkan dalang utama dan melumpuhkan rangkaian perlindungan tempatan yang membolehkan kegiatan berkenaan terus berleluasa.
Selagi isu asas seperti pemerdagangan manusia dan rasuah tidak ditangani, katanya, punca sebenar masalah itu akan terus kekal.
























