BH Online
Ringkasan Berita

Gempa bumi Filipina: Angka korban meningkat kepada 37 orang

MANILA: Jumlah korban akibat gempa bumi bawah laut bermagnitud 7.8 yang melanda Sarangani, Filipina meningkat kepada 37 orang, menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD), pada Selasa.
Gempa bumi Filipina: Angka korban meningkat kepada 37 orang

Pihak berkuasa Filipina kini menilai tahap kerosakan keseluruhan sambil menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas di kawasan terlibat. - Foto REUTERS

MANILA: Jumlah korban akibat gempa bumi bawah laut bermagnitud 7.8 yang melanda Sarangani, Filipina meningkat kepada 37 orang, menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD), pada Selasa.

Agensi berita Philippine News Agency (PNA), melaporkan angka terbaharu itu berdasarkan maklumat OCD, dengan 33 kematian direkodkan di Wilayah 12 (Soccsksargen) dan empat di Wilayah 11 (Davao).

Timbalan jurucakap OCD, Diego Agustin Mariano, berkata angka berkenaan masih dalam proses pengesahan.

"Angka ini masih belum muktamad dan sedang disahkan," katanya.

Menurut beliau, 18 kematian masih dalam proses pengesahan di Sarangani dan Bandar General Santos di Wilayah 12, manakala tiga lagi dilaporkan di South Cotabato.

OCD bagaimanapun belum mengeluarkan angka rasmi kerosakan akibat gempa kuat itu.

Sebelum ini, laporan awal memaklumkan seramai 144 mangsa cedera dan empat lagi masih hilang.

Penilaian awal menunjukkan Bandar General Santos adalah kawasan paling terjejas apabila gempa berlaku pada jam 7.37 pagi Isnin di Laut Celebes.

Setakat jam 7 pagi Selasa, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina merekodkan 1,055 gegaran susulan dengan kekuatan antara magnitud 1.3 hingga 6.7.

Dalam pada itu, OCD memaklumkan kerajaan pusat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Sarangani bagi usaha bantuan dan pemulihan.

Agensi berkenaan turut akan mengerahkan penjana elektrik serta bekalan bahan api ke hospital bagi memastikan operasi kemudahan kesihatan terus berfungsi.

Video Terkini

Berita Berkaitan