SEATTLE: Tiga terbunuh manakala sekurang-kurangnya empat lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak kecil, dalam kes tembakan rambang semalam berhampiran mercu tanda Space Needle di Seattle, Amerika Syarikat (AS).
Polis Seattle memaklumkan seorang suspek sudah ditahan, manakala seorang lagi sedang diburu susulan kes yang berlaku di sebuah festival makanan di kawasan pelancongan popular di bandar raya di barat laut AS itu.
Penolong Ketua Polis, Tyrone Davis, berkata beberapa das tembakan dilepaskan kira-kira jam 6 petang waktu tempatan (0100 GMT) dan pihaknya percaya terdapat dua individu yang saling berbalas tembakan.
Dua laras senjata api turut dirampas.
Beliau berkata, tiada lagi ancaman terhadap keselamatan orang ramai.
Polis Seattle mengesahkan tiga mangsa maut dalam kejadian itu.
Terdahulu, polis memaklumkan menerusi platform X bahawa terdapat 'beberapa mangsa tembakan' selepas kes berkenaan berlaku di Seattle Center.
Gabenor Washington, Bob Ferguson, berkata anggota Pasukan Tindakan Khas (SWAT) Polis Peronda Negeri Washington dikerahkan bagi membantu polis tempatan.
"Doa saya bersama keluarga mangsa dan pasukan penyelamat yang sedang bertugas memastikan keselamatan orang ramai," katanya menerusi X.
Datuk Bandar Seattle, Katie Wilson, menyifatkan kejadian itu sebagai "tindakan keganasan yang amat mengerikan."
"Tumpuan kita harus diberikan kepada mereka yang terkorban, mangsa yang sedang berjuang untuk pulih serta keluarga yang berada di sisi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Seattle yang bertindak pantas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang suspek.
Jurucakap Pusat Perubatan Harborview, Susan Gregg, berkata empat mangsa sedang menerima rawatan di pusat trauma hospital itu, membabitkan seorang kanak-kanak, seorang wanita yang sedang menjalani pembedahan, seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 39 tahun.
Davis berkata, semua mangsa yang dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil.
Beberapa saksi memberitahu stesen televisyen Seattle, KIRO, mereka terdengar beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.
"Pada mulanya saya menyangka bunyi bunga api, kemudian semua orang mula bertempiaran lari melepasi kami," kata Nick Bate kepada stesen televisyen itu.
"Kami terus berlari. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya tidak sempat melihat ke arah mana penembak itu berada. Saya hanya mendengar bunyi tembakan," kata seorang saksi kepada AFP.
Kejadian berlaku ketika festival musim panas 'Bite of Seattle', yang meraikan perniagaan tempatan dan peniaga makanan, sedang berlangsung. - AFP
























