SAO PAULO: Parti Liberal (PL) berhaluan kanan Brazil secara rasmi menamakan Senator Flavio Bolsonaro, 45, anak kepada bekas Presiden Jair Bolsonaro yang kini dipenjara sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Presiden Oktober depan.
Beliau dijangka berdepan penyandang berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva, 80 yang memburu penggal keempat secara tidak berturut-turut dan memperoleh momentum dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan beberapa krisis yang melanda Flavio.
Jair Bolsonaro tokoh kanan jauh yang lantang, menamakan anak sulungnya itu sebagai pewaris politik selepas dijatuhi hukuman penjara 27 tahun kerana merancang rampasan kuasa susulan kekalahannya kepada Lula pada pilihan raya 2022.
"Saya mungkin lebih tenang, lebih ceria, lebih terkawal dan lebih sederhana, tetapi darah Bolsonaro tetap mengalir dalam diri saya!." kata Flavio sambil menyentuh lengannya di hadapan penyokong yang bersorak di sebuah gudang di Sao Paulo.
Beliau memberi amaran bahawa Brazil, negara terbesar di Amerika Latin dari segi populasi, keluasan dan ekonomi, 'boleh melangkah jauh ke arah pemerintahan diktator' jika Lula dipilih semula.
Retorik itu turut disokong Presiden Argentina, Javier Milei yang hadir sendiri pada konvensyen berkenaan bagi menyatakan sokongan kepada Flavio Bolsonaro.
"Saya benar-benar percaya tiada sesiapa selain beliau yang mampu menamatkan ancaman Lula terhadap Brazil," kata Milei dalam ucapan penuh berapi-api.
Penyokong yang memakai jersi pasukan bola sepak kebangsaan Brazil yang kini menjadi simbol gerakan Bolsonaro, memukul gendang dan mengibarkan bendera di dalam gudang berhampiran Stadium Pacaembu, Sao Paulo.
"Kami sebenarnya mahu calon kami ialah Jair Bolsonaro, tetapi hari ini Flavio adalah pilihan terbaik," kata Fernando Moeno, 50, bekas anggota polis tentera yang menghadiri konvensyen itu.
Flavio dilihat mengalirkan air mata ketika menyebut mengenai bapanya yang muncul menerusi video dijana kecerdasan buatan (AI).
Mahkamah melarang bekas presiden itu membuat kenyataan politik ketika menjalani hukuman tahanan di rumah.
Walaupun berjanji membanteras jenayah dan inflasi, kedudukan Flavio yang sebelum ini seimbang dengan Lula dalam tinjauan pendapat mula terjejas akibat beberapa skandal termasuk hubungan dengan seorang ahli perbankan yang tercemar, konflik keluarga serta tarif baharu dikenakan sekutu beliau, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Tinjauan Datafolha yang diterbitkan pada Jumaat menunjukkan dalam pusingan kedua pilihan raya, Lula dijangka memperoleh 48 peratus undi berbanding 43 peratus bagi Flavio.
Masalah Flavio bermula pada Mei lalu apabila rakaman audio bocor mendedahkan beliau meminta ahli perbankan Daniel Vorcaro yang berdepan tuduhan penipuan bernilai jutaan dolar, membiayai sebuah filem mengenai bapanya.
Flavio pada awalnya menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan Vorcaro dan menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pembohongan', namun kini mengakui hubungan mereka hanya terhad kepada pembikinan filem berkenaan.
Khamis lalu, seorang hakim Mahkamah Agung mengarahkan siasatan dijalankan terhadap pembiayaan filem itu.
Kemudian, ibu tirinya, Michelle Bolsonaro memuat naik video di Instagram dengan mendakwa Flavio 'tidak menghormati dan melayannya dengan buruk serta mendakwanya saya tidak memahami apa-apa mengenai politik'.
Bekas Wanita Pertama itu dianggap penting dalam menarik sokongan pengundi wanita dan komuniti evangelis yang menjadi asas kuat gerakan sayap kanan di Brazil.
Flavio kemudian membacakan sepucuk surat daripada Jair Bolsonaro di media sosial yang menggesa perpaduan, sekali gus melanggar syarat tahanan rumah bapanya.
Tindakan itu menyebabkan seorang hakim Mahkamah Agung melarang beliau melawat Jair sehingga tamat pusingan pertama pengundian.
Minggu ini, Flavio memuat naik video memohon maaf kepada Michelle dan permohonan maaf itu diterima.
Flavio cuba menampilkan dirinya sebagai versi lebih sederhana daripada bapanya, namun tetap berpendirian tegas terhadap jenayah.
Minggu ini beliau turut mengulangi dakwaan Jair mengenai sistem pengundian elektronik Brazil yang sebelum ini sudah disangkal.
Sumber diplomatik Brazil berkata pada semalam, visa pegawai AS yang mahu mengadakan rundingan mengenai pilihan raya ditolak kerana bimbang berlaku 'risiko eksploitasi politik'.
Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Negara AS menafikan dakwaan itu dan berkata sebarang tuduhan bahawa wujud 'muslihat' untuk menjejaskan pilihan raya sebuah negara demokrasi adalah 'pembohongan tidak berasas'.
Senator itu juga bergelut mendapatkan sokongan blok parti tengah yang berpengaruh di Brazil selepas beberapa parti utama mengumumkan akan berkecuali pada pilihan raya 4 Oktober.
Flavio turut menerima kecaman selepas pentadbiran Trump mengenakan dua lagi pusingan tarif terhadap Brazil bulan ini.
Keluarga Bolsonaro sebelum ini menyokong tarif yang dikenakan sebagai tindak balas terhadap perbicaraan bekas presiden itu, sekali gus mendorong Lula menuduh mereka melakukan pengkhianatan.
























