BH Online
Ringkasan Berita

Trump kembali hadiri Majlis Makan Malam WHCA selepas cubaan bunuh

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kembali menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih (WHCA) di Washington pada Jumaat dalam kawalan keselamatan yang jauh lebih ketat, tiga bulan selepas cubaan membunuh terhadapnya menyebabkan acara sama dibatalkan secara tiba-tiba.
Trump kembali hadiri Majlis Makan Malam WHCA selepas cubaan bunuh

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt dan Presiden AS, Donald Trump menghadiri Majlis Makan Malam WHCA 2026 di Waldorf Astoria di Washington, DC. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kembali menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih (WHCA) di Washington pada Jumaat dalam kawalan keselamatan yang jauh lebih ketat, tiga bulan selepas cubaan membunuh terhadapnya menyebabkan acara sama dibatalkan secara tiba-tiba.

Trump dijadual menyampaikan ucapan yang gagal disampaikan pada April lalu apabila beberapa das tembakan dilepaskan berhampiran lokasi majlis di Hotel Washington Hilton, memaksa beliau dipindahkan segera oleh pasukan keselamatan.

Susulan insiden itu, seorang lelaki dari California, Cole Allen, 31, didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk cubaan membunuh presiden, namun mengaku tidak bersalah.

Bagi memastikan keselamatan kali ini, Perkhidmatan Rahsia AS memperketat kawalan dengan menutup beberapa jalan utama di sekitar lokasi serta mengerahkan anggota polis dan pengawal kebangsaan.

Bagaimanapun, tetamu yang hadir hanya melalui pemeriksaan ringkas sebelum dibenarkan memasuki kawasan majlis.

Lokasi acara turut dipindahkan daripada Washington Hilton ke Hotel Waldorf Astoria, bangunan yang pernah dimiliki Trump, sekali gus mengehadkan jumlah tetamu dan menjadikan majlis lebih kecil serta eksklusif.

Menurut wartawan AFP, Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS, Sean Curran, dilihat memantau ketibaan tetamu di ruang legar hotel sebelum melakukan rondaan di kawasan utama majlis.

Semua tetamu diwajibkan menunjukkan kod QR serta dokumen pengenalan diri sebelum memasuki ruang acara, selain melalui pemeriksaan pengimbas keselamatan.

Selesaikan tugas Sementara itu, nada ucapan Trump pada majlis kali ini menjadi perhatian selepas sebelum ini beliau dijangka menyampaikan ucapan yang keras mengkritik media pada acara asal April lalu.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Trump bertekad menunaikan janjinya untuk kembali menghadiri majlis berkenaan.

"Pada April lalu, Presiden Trump berjanji akan menyelesaikan tugas dengan menghadiri semula Majlis Makan Malam WHCA dan malam ini beliau akan menunaikan janji itu.

"Kami menantikan satu malam yang menyeronokkan bagi meraikan ulang tahun ke-250 keagungan Amerika dan kebebasan media," katanya dalam kenyataan kepada AFP.

Presiden WHCA, Weijia Jiang ketika mengumumkan penganjuran semula majlis itu pada Jun lalu berkata, pihaknya tidak akan membiarkan keganasan menjadi penutup kepada acara tahunan berkenaan.

Sejurus selepas insiden April lalu, Trump turut memuji media kerana meneruskan penganjuran semula majlis itu, yang disifatkannya sebagai lambang kekuatan dan ketabahan.

Namun, beliau memberi bayangan mungkin kembali mengkritik media dalam ucapannya kali ini.

"Saya tidak pasti sama ada akan mengulangi kenyataan yang agak keras terhadap individu tertentu, tetapi kita akan mengetahuinya nanti.

"Apa pun, ia akan menjadi tiket yang sangat hangat," kata Trump ketika mengumumkan penyertaannya pada Jun lalu.

Ancaman keselamatan Kehadiran Trump pada majlis April lalu adalah yang pertama sepanjang dua penggal pentadbirannya sebagai presiden, mencerminkan hubungan tegang beliau dengan media yang sering dilabel sebagai 'musuh' rakyat.

Selain ucapan Trump, majlis yang dijadualkan semula itu turut menampilkan persembahan ahli mentalis, Oz Pearlman.

Penganjur juga akan memberi penghormatan kepada seorang ejen Perkhidmatan Rahsia AS yang membantu menumpaskan suspek dalam insiden April lalu walaupun terkena tembakan pada jaket kalis pelurunya, selain menghargai kakitangan Washington Hilton.

Curran mempertahankan tindakan pasukannya ketika insiden itu dan menegaskan sistem keselamatan berfungsi seperti dirancang.

"Sistem itu berfungsi. Kawasan sekatan keselamatan berjaya menghalang suspek daripada memasuki dewan utama tempat majlis berlangsung," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau bagaimanapun mengakui tahap ancaman terhadap pegawai tertinggi kerajaan AS kini berada pada tahap yang belum pernah disaksikannya.

"Situasi ancaman keselamatan ketika ini adalah yang paling tinggi pernah saya lihat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan